Home Ekonomi [Tinjauan Ekonomi 2025] Permodalan sistem perbankan kekal tinggi
Ekonomi

[Tinjauan Ekonomi 2025] Permodalan sistem perbankan kekal tinggi

[Tinjauan Ekonomi 2025] Permodalan sistem perbankan kekal tinggi

PERMODALAN sistem perbankan kekal tinggi. – GAMBAR HIASAN

PERMODALAN dalam sistem perbankan kekal tinggi disokong oleh mudah tunai yang mencukupi bagi mendorong aktiviti pengantaraan kewangan dalam ekonomi, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Menurut laporan itu, pada akhir Julai 2024, Nisbah Modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1), Nisbah Modal Kumpulan 1 dan Nisbah Jumlah Modal kekal stabil pada tahap 14.8 peratus, 15.4 peratus dan 18.5 peratus.

Katanya, sektor perbankan terus menyediakan pembiayaan yang mampan berikutan pertumbuhan deposit yang kukuh dengan nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) kekal stabil iaitu 87.6 peratus.

“Di samping itu, sistem perbankan juga mengekalkan mudah tunai yang mencukupi untuk memenuhi obligasi kewangan dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (LCR) laitu 150.8 peratus dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (NSFR) laitu 115.5 peratus.

“Indikator tersebut kekal tinggi daripada paras piawaian Basel Ill’ bagi menyediakan penampan yang kukuh kepada bank untuk menghadapi potensi kejutan mudah tunai dan pada masa sama meneruskan aliran kredit dalam ekonomi,” katanya.

Dari segi kualiti aset, katanya, pinjaman terjejas kekal terkawal berdasarkan paras nisbah pinjaman terjejas kasar yang rendah iaitu 1.6 peratus dan turut disokong oleh permintaan yang rendah terhadap program penstrukturan dan penjadualan semula oleh peminjam yang menghadapi kekangan kewangan.

Jelasnya, keadaan itu mencerminkan kebanyakan peminjam berupaya melunaskan bayaran balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan.

Di samping itu, sektor perbankan kekal berwaspada terhadap risiko yang boleh menjejaskan prestasi pinjaman.

“Jumlah peruntukan termasuk rizab pengawalseliaan kekal mencukupi sebanyak RM43 bilion (bersamaan 124.5 peratus daripada pinjaman terjejas pada akhir Julai 2024) untuk menjadi penampan kepada potensi kerugian kredit,” katanya.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, laporan itu menyebut, aktiviti pinjaman dalam sistem perbankan kekal kukuh dengan pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul sebanyak 6.4 peratus kepada RM2,188.5 bilion disokong oleh pertumbuhan berterusan segmen perniagaan (5.7 peratus) dan segmen isi rumah (6.5 peratus).

Sementara itu, aktiviti pembayaran balik pinjaman bagi sistem perbankan menguncup sebanyak 2.7 peratus kepada RM1,363.6 bilion sejajar dengan pengeluaran pinjaman yang menyederhana sebanyak 0.1 peratus kepada RM1,386 bilion berpunca daripada segmen perniagaan.

“Segmen isi rumah merangkumi bahagian terbesar daripada jumlah keseluruhan pinjaman terkumpul dalam sektor perbankan dengan permohonan pinjaman meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM488.7 bilion disokong oleh permintaan yang berterusan bagi pembelian kereta penumpang dan rumah sehingga Julai 2024.

“Indikator pinjaman yang lain seperti kelulusan dan pengeluaran pinjaman juga meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada RM218.3 bilion dan 10.5 peratus kepada RM294.3 bilion,” katanya.

Jelas laporan itu, pertumbuhan kredit terus menggalakkan dengan aktiviti pembayaran balik kekal kukuh sebanyak 7.4 peratus selari dengan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan.

“Skim gaji perkhidmatan awam yang diselaraskan pada akhir tahun dijangka meningkatkan daya tahan segmen ini,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan
Ekonomi

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan

PENINGKATAN gaji minimum boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan. – GAMBAR HIASANPETALING JAYA:...

Harga emas cecah RM415 segram, dijangka terus meningkat
Ekonomi

Harga emas cecah RM415 segram, dijangka terus meningkat

SEORANG pekerja menyusun gelang emas yang dipamerkan di kedai barangan kemas. –...

Ekonomi

Niaga hadapan emas merosot susulan aktiviti pengambilan untung

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 6 Februari- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives...

Ekonomi

PKS disaran tingkat produktiviti untuk imbangi kenaikan kos operasi

Profesor Madya Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia, Dr Mohd Edil Abd...