Saturday , 16 November 2024
Home Ekonomi [Tinjauan Ekonomi 2025] Pasaran modal domestik kekal stabil
Ekonomi

[Tinjauan Ekonomi 2025] Pasaran modal domestik kekal stabil

[Tinjauan Ekonomi 2025] Pasaran modal domestik kekal stabil

PASARAN modal domestik yang kekal stabil terus menyokong aktiviti ekonomi domestik dan memacu pelaburan secara berkesan, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Menurut laporan itu, bagi tempoh tujuh bulan pertama 2024, pemerolehan dana sektor swasta mencatat peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada RM70.2 bilion dengan pemerolehan dana kasar dalam pasaran ekuiti domestik berkembang sebanyak 13.9 peratus kepada RM3.3 bilion.

“Namun begitu, aktiviti pemerolehan dana dalam sektor awam menyusut sebanyak 2.7 peratus kepada RM110.9 bilion selari dengan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal.

“Secara keseluruhan, pemerolehan dana dalam pasaran modal mencatat penurunan kecil sebanyak 1.6 peratus kepada RM181.1 bilion,” katanya.

Menurutnya, pemerolehan dana melalui terbitan korporat baharu mencatatkan penurunan secara marginal sebanyak 0.4 peratus kepada RM66.8 bilion dengan nota jangka pertengahan menyumbang sebanyak 92.2 peratus daripada jumlah terbitan bon korporat.

“Dari segi sektor, terbitan bon korporat baharu didominasi oleh sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang merangkumi 76.5 peratus.

“Dana ini sebahagian besarnya diperuntukkan untuk modal kerja, usaha niaga baharu, pembiayaan semula dan keperluan korporat lain. Meskipun terdapat sedikit penurunan, sokongan kewangan untuk perniagaan kekal kukuh didorong oleh jangkaan pertumbuhan dalam pembiayaan bank khususnya untuk PKS,” katanya.

Laporan itu menyebut, pasaran modal domestik kekal menggalakkan disokong oleh pelaksanaan projek strategik baharu dan sedia ada meskipun ketidaktentuan ekonomi global dan risiko geopolitik semakin meningkat.

“Dana yang diperoleh melalui penawaran awam permulaan (IPO) dalam pasaran ekuiti domestik berjumlah RM3.3 bilion dengan Bursa Malaysia berjaya menerbitkan 28 IPO bagi tempoh tujuh bulan pertama 2024.

“Penawaran IPO merangkumi pelbagai sektor termasuk produk dan perkhidmatan perindustrian, produk dan perkhidmatan pengguna, hartanah, teknologi dan perkhidmatan kewangan yang disenaraikan dalam Pasaran Utama, Ace atau LEAP,” katanya.

Dalam pada itu, aktiviti pinjaman bagi segmen perniagaan secara keseluruhan kekal menyokong didorong oleh pertumbuhan yang tinggi dalam modal kerja dan aktiviti pelaburan.

“Keadaan ini dicerminkan oleh permohonan pinjaman yang tinggi iaitu sebanyak 7.7 peratus kepada RM333.8 bilion sehingga Julai 2024.

“Walau bagaimanapun, bayaran balik pinjaman menurun sebanyak 3.2 peratus kepada RM918 bilion terutamanya dalam sub sektor perkhidmatan.

“Penurunan ini tidak melibatkan semua subsektor memandangkan terdapat peningkatan bagi pembayaran balik untuk perdagangan borong dan runcit. Pengeluaran pinjaman untuk perniagaan turut merosot sebanyak 0.7 peratus kepada RM924.8 bilion,” katanya.

Sementara itu, akses kepada pembiayaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kekal tinggi bagi menyokong keperluan pembangunan merentasi pelbagai sektor seperti agro takaful, kewangan hijau dan pembiayaan pelancongan yang merangkumi lebih daripada separuh pembiayaan perniagaan (51.1 peratus).

“Sehingga Jun 2024, hutang isi rumah di Malaysia mencecah RM1,573.6 bilion dengan nisbah agregat hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal stabil pada 83.8 peratus.

“Perkembangan ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan 6.2 peratus dalam pinjaman isi rumah yang disokong oleh peningkatan berterusan dalam pasaran buruh dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Selain itu, pinjaman perumahan dan kereta menjadi penyumbang utama merangkumi 74.5 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

“Pinjaman perumahan meningkat sebanyak 7.4 peratus disokong oleh inisiatif untuk menggalakkan pemilikan rumah terutamanya bagi pembeli rumah kali pertama,” katanya.

Sementara itu, pinjaman kereta mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 10.4 peratus mencerminkan jualan kenderaan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Sebaliknya, kadar pertumbuhan untuk penggunaan kad kredit dan pembiayaan peribadi mencatat 8.9 peratus dan 3.3 peratus.

“Pertumbuhan kredit isi rumah sejajar dengan tahap pendapatan ditunjukkan melalui daya tahan kewangan isi rumah yang disokong oleh kapasiti pembayaran hutang dan penampan yang baik untuk membiayai projek pada kos yang lebih rendah dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi di Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil
Ekonomi

Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil

BANK NEGARA MALAYSIAKUALA LUMPUR, 14 November– Kadar jangka pendek antara bank ditutup...

Niaga hadapan emas ditutup rendah berikutan pengukuhan dolar AS
Ekonomi

Niaga hadapan emas ditutup rendah berikutan pengukuhan dolar AS

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 14 November- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia...

Ekonomi

Minyak transformer berupaya mengurangkan risiko kebakaran di pencawang elektrik

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir / Foto RTMBANGI,...

Ekonomi

Lawatan rasmi PM ke Mesir jana potensi eksport RM4.8 bilion

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Meja Bulat para...