Monday , 23 December 2024
Home Ekonomi [Tinjauan Ekonomi 2025] Malaysia gerbang kemakmuran ASEAN
Ekonomi

[Tinjauan Ekonomi 2025] Malaysia gerbang kemakmuran ASEAN

[Tinjauan Ekonomi 2025] Malaysia gerbang kemakmuran ASEAN

MALAYSIA di tangga ke-29 dalam laporan ekonomi paling bebas 2024. – GAMBAR HIASAN

KEDUDUKAN strategik dan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dilihat pelabur sebagai gerbang ASEAN yang menawarkan kelebihan unik dalam bidang strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI), pelancongan perubatan serta inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Menurut laporan itu, Malaysia sebagai antara negara anggota pengasas ASEAN menawarkan pelbagai peluang merentas sektor.

“Menjelang kepengerusian ASEAN pada 2025, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau dalam bidang tersebut.

“Usaha ini melibatkan penyertaan sektor swasta dan usahawan tempatan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan yang mencerminkan komitmen Malaysia dalam menggalakkan inovasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Selaku Pengerusi, katanya, Malaysia akan memperkenalkan Konsep Komuniti ASEAN 2045 bagi meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota, mengeratkan perpaduan, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk keharmonian untuk kemakmuran ekonomi serantau.

“Selain itu, konsep ini akan memperluas lagi kerjasama komuniti Asean bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi turut meliputi aspek ketersambungan, pengagihan tenaga dan infrastruktur.

“Kepengerusian ini juga mencerminkan hala tuju Malaysia ke arah merealisasikan aspirasi ekonomi Madani untuk menjadi peneraju ekonomi Asia,” katanya.

Laporan itu juga menyatakan, industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia merupakan antara penyumbang utama kepada KDNK, pelaburan dan peluang pekerjaan.

“Lokasi yang strategik serta infrastruktur yang komprehensif membolehkan Malaysia menawarkan akses kepada pasaran global yang merangkumi lebih empat bilion penduduk melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Kedudukan strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor Asia memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam menarik pelaburan yang besar dan berkualiti serta meningkatkan peluang pekerjaan dalam industri ini,” katanya.

Jelas laporan tersebut, Malaysia kini menyumbang 13 peratus daripada pasaran pengujian dan pembungkusan semikonduktor global dan menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

Katanya, industri ini merangkumi 60 peratus daripada jumlah eksport E&E negara.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025, kerajaan menyasarkan sumbangan industri E&E sebanyak RM120 bilion kepada KDNK menjelang 2025.

“Pada 2023, industri E&E telah menyumbang sebanyak 7.5 peratus kepada KDNK bernilai RM117.7 bilion.

“Di samping itu, Malaysia telah meluncurkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang bertujuan mengukuhkan peranan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor global. Strategi ini disokong oleh peningkatan permintaan terhadap produk E&E yang dipacu oleh perkembangan sektor kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh baharu (TBB), aeroangkasa dan ekonomi digital,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 23 Disember – Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding...

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal
Ekonomi

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal

NOR Hasheera Hanafi belajar membuat kek daripada ibu mertuanya.PETALING JAYA: Pengusaha bakeri,...

Ekonomi

Langkah interim BNM bantu imbangi kos penjagaan kesihatan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 22 Disember – Langkah interim yang diperkenalkan Bank Negara...

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...