Home Ekonomi [Tinjauan Ekonomi 2025] Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.5 – 5.5 peratus pada 2025
Ekonomi

[Tinjauan Ekonomi 2025] Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.5 – 5.5 peratus pada 2025

[Tinjauan Ekonomi 2025] Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.5 – 5.5 peratus pada 2025

EKONOMI Malaysia diunjur berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, 2025 menjanjikan harapan tinggi untuk Malaysia memandangkan negara masih mempertahankan asas pembangunan yang telah dibina selama ini.

Jelasnya, menerusi pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani seiring dengan dasar-dasar di bawahnya, Malaysia bersedia untuk memperkukuh kedudukan sebagai ekonomi terkemuka di rantau ini.

“Sungguhpun masih terdapat cabaran, namun daya tahan kita semua akan menyatukan negara berlandaskan semangat perpaduan untuk menerima setiap perubahan yang berlaku dan kekal komited terhadap pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Bersama-sama, kita akan melakar masa hadapan yang sejahtera, memastikan mahsul negara dapat dikongsi secara saksama dengan semua, demi menjamin hari esok yang lebih cerah untuk negara kita, InsyaAllah,” katanya dalam prakata laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Anwar berkata, Malaysia telah membuktikan daya tahan ekonomi melalui kadar pertumbuhan yang menggalakkan yakni 5.1 peratus pada separuh pertama 2024.

“Pencapaian ini menggambarkan kedinamikan dan keutuhan ekonomi negara dengan kadar pertumbuhan dijangka stabil antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus pada tahun 2024, lantas menyerlahkan lagi daya tahan dan potensi negara ke arah kemakmuran yang mampan.

“Kerajaan yakin bahawa Belanjawan 2025 akan membawa Malaysia selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan wawasan Ekonomi Madani yang bertunjangkan pendekatan seluruh negara,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, Belanjawan 2025 bukan semata-mata menoktahkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), namun menjadi landasan untuk terus memacu era baharu pertumbuhan dan inovasi bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Tegas beliau, kerajaan bertekad merangka pembangunan ekonomi negara yang lebih kukuh dan inklusif bagi menterjemahkan aspirasi setiap rakyat Malaysia di samping melindungi kesejahteraan rakyat serta meningkatkan kemakmuran negara.

“Bagi mencapai wawasan ini, kita harus mengadaptasi pendekatan terangkum melibatkan seluruh negara, menggembleng sokongan pelbagai lapisan rakyat dan masyarakat dalam misi mencapai pembangunan negara berimpak besar serta kemajuan ekonomi yang transformatif.

“Dasar fiskal kekal teguh pada landasan konsolidasi, dengan matlamat untuk membina semula penampan fiskal serta memperkukuh daya tahan kewangan negara,” katanya dalam prakata laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025.

Anwar berkata, kerajaan terus mempergiat pelaksanaan pelbagai langkah bagi peningkatan hasil secara berkesan.

“Ini di samping memastikan pembaharuan fiskal tersebut dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan atau menambah beban yang dikendong oleh rakyat.

“Dalam hal ini, pelaksanaan e-Invois menjadi langkah penting untuk mengurangkan pengelakan cukai dan ketirisan kewangan, di samping penyasaran semula subsidi untuk memastikan pengurusan perbelanjaan awam yang optimum.

“Pembaharuan fiskal yang dilaksanakan telah mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023, dengan sasaran lebih baik pada 4.3 peratus untuk 2024 dan 3.8 peratus pada 2025.

“Kerajaan komited mengekalkan momentum ini bagi memastikan kemajuan berterusan ke arah konsolidasi fiskal,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion
Ekonomi

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion

PETALING JAYA: Jumlah pelaburan komited Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi tahun kewangan...

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan
Ekonomi

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan

FADILLAH Yusof semasa ucaptama di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024...

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau
Ekonomi

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZKUALA LUMPUR: ASEAN boleh menjana tambahan AS$300 bilion (RM1.27...

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat
Ekonomi

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke...