Home Ekonomi Tabung Haji cemerlang, perkukuh kedudukan institusi kewangan Islam
Ekonomi

Tabung Haji cemerlang, perkukuh kedudukan institusi kewangan Islam

Tabung Haji cemerlang, perkukuh kedudukan institusi kewangan Islam

PETALING JAYA: Kemampuan Lembaga Tabung Haji (TH) memberikan pulangan dividen yang lebih tinggi tahun lalu disifatkan sebagai pencapaian cemerlang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan Islam utama di Malaysia.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, TH memikul tanggungjawab lebih besar dan memastikan kecukupan dana untuk membiayai jemaah haji Malaysia menunaikan Rukun Islam kelima.

“Lembaga ini berbeza dengan pengurusan dana lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menumpukan kepada keuntungan pelaburan.

“Sebagai institusi yang diamanahkan menguruskan simpanan umat Islam, TH berdepan cabaran unik kerana perlu mengekalkan kecairan tunai yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pengeluaran penyimpan pada bila-bila masa.

“Situasi ini memerlukan keseimbangan teliti antara pulangan pelaburan dan tanggungjawab menyediakan dana haji.

“Menariknya, pulangan dividen TH kepada penyimpan juga telah ditolak zakat secara automatik, membolehkan mereka melunaskan Rukun Islam keempat tanpa sebarang keraguan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Tabung Haji mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion pada 2023.

Menurut Aimi Zulhazmi, kejayaan TH mengekalkan prestasi kukuh tidak terlepas daripada strategi pelaburannya yang berasaskan prinsip syariah, meliputi pelbagai sektor termasuk hartanah, perladangan dan pasaran kewangan dalam serta luar negara.

“Langkah penyusunan semula pada 2019, yang menyaksikan penjualan aset tidak menguntungkan, menjadi pemangkin kepada kestabilan dan keupayaan TH mencatatkan keuntungan konsisten.

“Prestasi Bursa Malaysia sepanjang 2024 turut menyokong momentum positif TH, dengan kenaikan purata Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) daripada 1,400 mata kepada 1,600 mata.

“Kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras tiga peratus pula menyumbang kepada pulangan kukuh dalam pelaburan berasaskan sukuk dan simpanan patuh syariah.

“Selain itu, keuntungan memberangsangkan syarikat GLC dan GLIC, khususnya dalam sektor perbankan, turut memberi impak positif terhadap portfolio pelaburan TH,” katanya.

Bagaimanapun, Aimi menjangkakan cabaran ekonomi global yang tidak menentu pada 2025 boleh mempengaruhi prestasi TH.

“Namun, sekiranya institusi itu berjaya mengekalkan momentum seperti 2024, ia sudah dianggap satu pencapaian yang baik di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan suasana kadar faedah yang stabil di Malaysia, TH seharusnya berpotensi untuk mengekalkan prestasi semasa bagi 2025.

“Namun, ketidakpastian pasaran jelas kelihatan bagi setakat suku pertama tahun ini berikutan kebimbangan dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta suasana geopolitik yang tegang di Timur Tengah dilihat bakal menjejaskan sentiment pasaran pada 2025. – UTUSAN

Related Articles

Hektar REIT, Samaiden perkenal inisiatif kemampanan melalui tenaga solar
Ekonomi

Hektar REIT, Samaiden perkenal inisiatif kemampanan melalui tenaga solar

ZAINAL Iskandar Ismail (tiga dari kiri) bersama Chow Pur Hee (empat dari...

Pro-Net tingkat aksesibiliti poin pengecas EV
Ekonomi

Pro-Net tingkat aksesibiliti poin pengecas EV

ZHANG Qiang (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian di Centre of Excellence Proton...

Uniten, GMT tubuh makmal geoteknolog
Ekonomi

Uniten, GMT tubuh makmal geoteknolog

KHAIRUL (empat dari kiri) dan Mustapha (empat dari kanan) pada majlis pemeteraian...

MAB Academy terima anugerah IATA dalam penggunaan VR
Ekonomi

MAB Academy terima anugerah IATA dalam penggunaan VR

AIDA Salfaraz Ahmad Fadzil mewakili MAB Academy menerima Anugerah Inovasi Pusat Latihan...