Home Ekonomi Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia
Ekonomi

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia

Tan Sri Robert Kuok

PETALING JAYA: Kekayaan kolektif 50 taikun utama Malaysia meningkat kepada AS$90 bilion (RM397.2 bilion) pada 2025 daripada AS$83.4 bilion (RM368 bilion) pada tahun sebelumnya, berikutan peningkatan lima peratus dalam ringgit bagi tempoh 12 bulan lalu.

Menurut Forbes, Robert Kuok yang berusia 101 tahun masih merupakan individu terkaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$11.4 bilion (RM50.3 bilion), menerajui empayar perniagaan tani ke hotel di bawah Kuok Group, dan kini merancang untuk melaksanakan projek pusat data berskala besar di Johor.

Katanya, Patriark Kumpulan Hong Leong, Quek Leng Chan, mengukuhkan kedudukannya sebagai orang kedua terkaya dengan peningkatan nilai bersih AS$1 bilion (RM4.4 bilion kepada AS$9.8 bilion (RM43.3 bilion), disokong oleh jualan kukuh di konglomerat keluarga dari kewangan ke makanan.

“Adik beradik Teh, pewaris kekayaan Public Bank, mengekalkan tempat ketiga dengan kekayaan mereka meningkat sembilan peratus kepada AS$5.9 bilion (RM26 bilion).

“Tokoh aluminium Koon Poh Keong dan adik-beradik naik satu tempat ke nombor empat selepas peningkatan yang sederhana menjadikan nilai bersih mereka kepada AS$5.4 bilion (RM23.8 bilion),” katanya.

Forbes berkata, secara keseluruhan, 30 daripada 50 individu terkaya di negara ini berada di kedudukan yang lebih baik daripada setahun lalu.

Tambahnya, Jeffrey Cheah (kesembilan) juga menambah AS$600 juta (RM2.6 bilion) untuk menjadikan jumlah nilai bersihnya kepada AS$3 bilion (RM13.3 bilion) atas peningkatan saham konglomerat hartanah Sunway, yang merancang untuk menyenaraikan unit penjagaan kesihatannya tahun depan.

“Terdapat tiga peserta baharu ke dalam senarai iaitu pada tempat kelima dengan AS$5.3 bilion (RM23.4 bilion) adalah keluarga Krishnan, pewaris empayar telekomunikasi kepada tenaga yang dibina oleh jutawan, Ananda Krishnan, yang meninggal dunia pada November pada usia 86 tahun.

“Turut baharu dalam senarai itu adalah Lee Thiam Wah (kelapan) pada AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion), pengasas 99 Speed ​​Mart Retail Holdings, rangkaian pasar mini terbesar di negara ini mengikut bilangan kedai.

“Beliau menjadi jutawan selepas penyenaraian syarikatnya pada September, mengumpul AS$532 juta (RM2.4 bilion) menerusi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara itu dalam tempoh tujuh tahun,” ujarnya.

Majalah kewangan itu berkata, satu lagi wajah segar ialah bekas pegawai polis Tan Boon Hock (tempat ke-40) dengan AS$490 juta (RM2.2 bilion), yang portfolionya termasuk rangkaian klinik pembedahan mata laser dan sebuah syarikat yang pakar dalam sistem pengurusan trafik berkuasa kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN

Related Articles

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion
Ekonomi

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion

PETALING JAYA: Jumlah pelaburan komited Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi tahun kewangan...

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan
Ekonomi

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan

FADILLAH Yusof semasa ucaptama di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024...

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau
Ekonomi

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZKUALA LUMPUR: ASEAN boleh menjana tambahan AS$300 bilion (RM1.27...

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat
Ekonomi

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke...