Home Ekonomi Ringgit ditutup rendah ketika hasil AS meningkat
Ekonomi

Ringgit ditutup rendah ketika hasil AS meningkat

Ringgit ditutup rendah ketika hasil AS meningkat

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS berikutan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang mendadak, menyebabkan peniaga dan pasaran mengambil pendirian berhati-hati mengenai kemungkinan penurunan kadar AS pada masa hadapan.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2850/2895 berbanding dolar AS daripada 4.2810/2880 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin cenderung untuk mengambil pendekatan yang lebih tersusun untuk melonggarkan pendirian dasar monetarinya berikutan pasaran buruh yang kukuh.

\”Selain itu, keadaan terlebih beli ringgit dari sudut teknikal menunjukkan bahawa pembetulan teknikal akan berterusan dalam tempoh terdekat,\” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) telah menyemak naik unjuran nilai ringgit berbanding dolar AS kepada 4.25 daripada 4.42 sebelum ini, disokong oleh perbezaan hasil, pengurangan kadar faedah oleh Fed dan pemulihan ekonomi China.

“Seperti dijangkakan, pasaran telah melakukan pelarasan dan menerima hanya dua pengurangan 25 mata peratusan tahun ini oleh Fed susulan data tenaga kerja September yang lebih kukuh daripada unjuran awal.

“Walaupun asas-asas domestik akan terus mendorong peningkatan ringgit, kami kekal berhati-hati terhadap risiko luar, khususnya prospek penurunan ekonomi AS yang mendadak, ketidaktentuan susulan pilihan raya presiden dan ketegangan geopolitik,” kata Kenanga dalam nota penyelidikan.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 4.7079/7129 daripada 4.6920/6996 semasa ditutup semalam, menurun berbanding yen Jepun kepada 2.8988/9022 daripada 2.8857/8909 sebelumnya, dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6108/6167 daripada 5.5953/6044.

Mata wang tempatan menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.7933/8129 daripada 12.7948/8218 semalam dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.53/7.54 daripada 7.54/7.55 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2876/2913 daripada 3.2832/2888 semasa ditutup pada Isnin dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.6/274.1 daripada 272.8/273.4. -Livevartha

Related Articles

Bateriku, RYDE EV jalin kerjasama percepat mobiliti elektrik
Ekonomi

Bateriku, RYDE EV jalin kerjasama percepat mobiliti elektrik

AZAROL Faizi (kiri) bersama Syed Ahmad Faiz pada majlis memeterai kerjasama strategik...

I-Berhad labur RM10j untuk sistem AI, infrastruktur robotik menjelang 2028
Ekonomi

I-Berhad labur RM10j untuk sistem AI, infrastruktur robotik menjelang 2028

LIM Kim Hong (kiri) pada majlis pengumuman komitmen awal I-Berhad sebanyak RM10...

Jangkaan kadar dividen KWSP perlu realistik – Pakar ekonomi
Ekonomi

Jangkaan kadar dividen KWSP perlu realistik – Pakar ekonomi

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31...

PMKS manfaat pendigitalan peruncitan, tingkat daya saing
Ekonomi

PMKS manfaat pendigitalan peruncitan, tingkat daya saing

PMKS menggunakan kemajuan teknologi digital untuk mempromosikan perniagaan mereka.PETALING JAYA: Pendigitalan dalam...