Home Ekonomi Ringgit dibuka tinggi walaupun permintaan terhadap mata wang selamat meningkat
Ekonomi

Ringgit dibuka tinggi walaupun permintaan terhadap mata wang selamat meningkat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Disember – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, walaupun permintaan terhadap mata wang selamat meningkat berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan dan risiko geopolitik tinggi, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4575/4700 berbanding dolar AS daripada 4.4645/4700 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pada masa ini ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual.

“Ini mungkin menarik minat pelabur untuk membeli ringgit, memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak berhasrat untuk melonggarkan dasar monetarinya tahun depan.

“Ini berbeza dengan kalangan bank pusat serantau seperti di Indonesia, Filipina, dan Thailand, yang telah mula melaksanakan kitaran pengurangan kadar faedah masing-masing tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di peringkat luaran, keadaan kini lebih memihak kepada dolar AS apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka melonggarkan dasar monetarinya secara lebih beransur-ansur pada 2025.

Mohd Afzanizam berkata Fed kemungkinan mengekalkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) di atas paras neutral — kadar yang tidak bersifat pengembangan atau penguncupan bagi ekonomi.

“Berdasarkan unjuran terkini Fed, kadar neutral berada di sekitar 3.00 peratus. Pengurangan sebanyak 50 mata asas lagi boleh menyebabkan FFR berada pada 4.00 peratus tahun depan, yang menunjukkan dasar monetari akan kekal ketat.

“Berdasarkan ini, pasangan ringgit-dolar AS mungkin bergerak sekitar RM4.46 hari ini,” katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun.

Unit domestik meningkat berbanding pound British kepada 5.5933/6090 daripada 5.6146/6215 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding euro kepada 4.6385/6515 daripada 4.6583/6640.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.8388/8471 daripada 2.8278/8314 ketika ditutup pada Isnin.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2788/2882 daripada 3.2890/2935 semalam, dan lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 276.1/277.0 daripada 276.5/277.0.

Ringgit tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.0428/0905 daripada 13.0905/1139 dan lebih kukuh berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.72 daripada 7.70/7.72 semalam. – Livevartha

Related Articles

Ekonomi

MGA galak pembelian barang kemas sebagai pelaburan jangka panjang

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 26 April- Persatuan Emas Malaysia (MGA) menyarankan orang ramai...

Ekonomi

Pelabur AS kekal komited, perkukuh aspirasi Malaysia jadi hab semikonduktor global

FOTO FB Tengku ZafrulKUALA LUMPUR, 26 April- Walaupun berdepan cabaran geopolitik dan...

Ekonomi

Malaysia perkukuh peranan sebagai hab halal global di Expo Osaka 2025

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 26 April- Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama antarabangsa serta...

Ekonomi

Pasaran getah kekal lengang, peniaga tumpu tambah stok minggu depan

Foto Hiasan / FailKUALA LUMPUR, 26 April – Pasaran getah Malaysia dijangka...