Home Ekonomi Ringgit cecah paras paling kukuh sejak Jun 2021, naik 0.69 peratus berbanding dolar
Ekonomi

Ringgit cecah paras paling kukuh sejak Jun 2021, naik 0.69 peratus berbanding dolar

Ringgit cecah paras paling kukuh sejak Jun 2021, naik 0.69 peratus berbanding dolar

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 25 September- Ringgit naik kepada 4.1275/1310 berbanding dolar AS pada Rabu, mencatatkan paras paling kukuh sejak Jun 2021.

Mata wang tempatan meningkat 0.69 peratus daripada 4.1550/1605 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengekalkan prestasinya yang kukuh sepanjang hari, didorong oleh jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan melonggarkan lagi dasar monetarinya pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada 8 Nov 2024.

Beliau berkata pasaran menjangka penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas seperti yang dapat dilihat daripada niaga hadapan kadar faedah.

Selain itu, People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan penurunan kadar kemudahan pinjaman jangka sederhana untuk tempoh setahun daripada 2.30 peratus kepada 2.00 peratus untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan China telah meningkatkan usahanya untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus pada tahun ini.

“Ini akan membantu meredakan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi China yang lembap. Secara keseluruhannya, ringgit dilihat berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit turut mencatatkan prestasi yang kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6158/6197 daripada 4.6274/6335 semalam, naik berbanding pound kepada 5.5189/5236 daripada 5.5590/5663 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8625/8652 daripada 2.8796/8836.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2121/2150 daripada 3.2244/2289 semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.39 daripada 7.39/7.40.

Ringgit turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 273.3/273.6 daripada 273.5/274.0 dan meningkat kepada 12.6158/6353 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand.- Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Agrobank sumbang zakat RM180,000 kepada lebih 12 pertubuhan kebajikan

Agrobank menyumbangkan zakat berjumlah RM180,000 kepada lebih 12 pertubuhan kebajikan di lapan...

Ekonomi

Suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy langkah wajar – Penganalisis

Keputusan kerajaan untuk menyuntik RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Berhad disifatkan...

Ekonomi

Ringgit dijangka bertahan berbanding dolar AS minggu hadapan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 16 Mac– Ringgit dijangka kekal bertahan dalam julat 4.43...

Ekonomi

Ketidaktentuan global: Malaysia perlu teroka rakan dagang baharu – Pakar

FOTO ARKIB RTMKUALA LUMPUR, 15 Mac- Malaysia perlu meneroka peluang dengan negara...