MUKADIMAH
BERTEKAD untuk membanteras aktiviti perniagaan dan pelaburan scammer, NASRUDIN HASSAN mahu masyarakat tidak mudah ditipu hanya semata-mata mahu kaya cepat tanpa cara yang betul.
Hakikatnya, mereka perlu mengkaji setiap perniagaan yang mahu diceburi dan tidak cepat terpesona dengan janji bulan bintang.
Untuk itu, usahawan yang berminat boleh mengikuti bimbingan daripada Rich Academy Global untuk meraih pendapatan lima angka hanya bekerja dari rumah. Pelatih dan Mentor Usahawan Rich Academy Global itu berkongsi peluang itu bersama Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, baru-baru ini.
UTUSAN: Kenapa ustaz menceburkan diri dalam perniagaan mutakhir ini?
NASRUDIN: Perniagaan adalah salah satu daripada solusi ketika mendepani himpitan dan kekangan kewangan yang melingkari kita. Saya kira ramai orang menghadapi situasi serupa. Mutakhir ini, kos sara hidup meningkat, belum kira hutang yang membebankan, kos pendidikan anak-anak yang menghambat dan keperluan harian yang menekan.
Namun, saya tidaklah melibatkan diri dalam sektor perniagaan secara sembarangan. Pertama, saya meneliti profil syarikat, produk dan juga pelan pemasarannya. Kedua, saya pastikan syarikat ini adalah sebuah syarikat yang kukuh dan stabil, produknya mudah dipasarkan dan laris di pasaran serta pelan pemasarannya patuh syariah dan mudah dilaksanakan.
Ia salah satu usaha untuk mempertingkatkan prestasi ekonomi diri dan keluarga, seterusnya mengangkat martabat ekonomi Islam.
Adakah usaha menceburkan diri dalam perniagaan juga salah satu perjuangan?
Penglibatan saya dengan perniagaan ini adalah untuk menambah cabang perjuangan saya. Jika sebelum ini tarbiyah, dakwah dan siasah. Kini saya tambah satu lagi, iaitu iktisad.
Bagaimanapun, saya perlukan masa untuk menguasai bidang perniagaan ini kerana saya tidak mahu melakukan sesuatu sekadar untuk melepaskan betuk di tangga, sebaliknya saya mahu berjaya.
Bagaimana ustaz mula terlibat dalam bidang perniagaan ini?
Saya menyertai perniagaan ini di bawah bimbingan Rich Academy Global Sdn. Bhd. iaitu pengasasnya, Yuslida Othman. Beliau adalah penerima anugerah Usahawan Cemerlang Malaysia 2024 Niaga Times dalam kategori Training dan Konsultasi Perniagaan.
Apakah keistimewaan Rich Academy Global?
Rich Academy Global ini adalah sebuah akademi yang menggariskan sebuah matlamat “Melahirkan Usahawan Jutawan Beriman dan Budiman.” Ia adalah matlamat yang mengangkat kualiti duniawi iaitu usahawan jutawan dan kualiti ukhrawi iaitu jutawan beriman.
Antara yang menarik perhatian saya juga ialah visi dan misinya serta motto keusahawanannya. Visinya adalah sebuah akademi yang melahir, melatih dan membimbing usahawan menjana pendapatan lima angka hanya dari rumah. Ia adalah visi kontemporari dalam usaha menjana pendapatan dengan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital hari ini.
Rich Academy Global memberi komitmen tinggi untuk melatih dan membimbing usahawannya sehingga berjaya, melalui bimbingan strategik mentor yang berpengalaman luas, berkemahiran tinggi dan mentor yang berjaya dalam perniagaan yang serupa.
Misinya pula “Impian Anda Rancangan Kami”. Satu lagi komitmen untuk merealisasikan hasrat siapa jua yang mahu mengubah kehidupan dengan meningkatkan prestasi ekonomi diri dan keluarga. Motto keusahawanan pula berpaksi atas tiga paksi utama iaitu berniaga kerana Allah, berniaga untuk Allah dan berniaga bersama Allah.
Bagaimana Rich Academy Global ini membantu usahawan?
Kami membuat latihan dan bimbingan kemahiran berniaga secara online menggunakan teknik duduk rumah, pelanggan yang perlu cari kita. Pada masa sama, kita menggunakan teknik terkini kemahiran pemasaran dalam talian termasuk melalui media sosial.
Kami membuat kelas tiga atau empat kali seminggu termasuk kelas pengetahuan produk, marketing plan, kemahiran perniagaan dan lain-lain.
Apa yang kami tekankan juga ialah faktor spiritual agar usahawan mempunyai kualiti spiritual yang tinggi iaitu bergantung kepada Allah, tuhan yang memberi rezeki, tidak melakukan urusniaga yang bercanggah dengan syariah serta tidak leka sehingga meninggalkan kewajipan sebagai hamba atas alasan sibuk berniaga.
Rich Academy Global memilih syarikat Forever Living Sdn. Bhd. iaitu sebuah perniagaan networking yang berasaskan online marketing. Syarikat ini sebagai platform perniagaan untuk para usahawan yang dilahir, dilatih dan dibimbing olehnya.
Syarikat ini adalah sebuah syarikat gergasi bertaraf antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1978 dan beroperasi di 170 buah negara dengan 10 juta pengedarnya di seluruh dunia. Produknya adalah produk yang dikategori sebagai produk sunnah dan membantu kesihatan seperti madu, minyak zaitun, delima dan lidah buaya.
Lebih menarik, meskipun ia adalah syarikat networking, ia tidak mengamalkan sistem point (PV BV) dan sistem pairing (pasang kaki). Bahkan ia tidak mengamalkan sistem orang tengah. Sebaliknya dari kilang terus kepada pengedar.
Kami namakan ia sebagai Syarikat Networking Tiga Konsep. Konsep pertama, tiada orang tengah. Kedua, tiada sistem pairing dan ketiga, tiada sistem point. Inilah yang membuatkan syarikat ini antara syarikat yang paling tinggi membayar bonus kepada ahlinya.
Apakah nasihat kepada mereka yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan?
Waspadalah, jangan terjebak dalam manipulasi scammer yang banyak beroperasi di atas talian untuk memerangkap mangsa. Ramai yang mahu sekadar letak duit pada jumlah tertentu, kemudian tunggu dua tiga jam duit itu beranak 10 kali ganda. Tahu-tahu mereka ditipu mentah-mentah.
Seperkara lagi, kalau ada orang ajak kita berniaga pun, maka kaji lah dulu. Jangan cepat pesona dengan janji bulan bintang. Lihat apakah syarikatnya kukuh dan stabil? Bagaimana pelan pemasarannya? Apakah patuh syariah? Juga lihat kepada produk. Apakah produknya halal, berkualiti dan membawa keuntungan yang baik kepada kita.
Pastikan juga orientasi perniagaan itu tidak sekadar memburu keuntungan duniawi tetapi juga mengimbangi keperluan ukhrawi kita.
Adakah sasaran melalui perniagaan ini tercapai?
Saya sendiri berjaya mencapai dengan mampu menjana pendapatan lima angka sebagaimana yang diuar-uarkan. Alhamdulillah, seawal bulan pertama, pendapatan saya telah pun mengatasi jumlah modal saya iaitu hanya RM1,500 seumur hidup.
Bulan kedua, saya telah capai pendapatan lima angka setiap bulan sehingga sekarang.
Berapa ramai usahawan yang dibimbing Rich Academy Global setakat ini?
Mereka yang menyertai Forever Living ini ramai kira-kira sejuta ahlinya di Malaysia. Tetapi yang menyertai Forever melalui Rich Academy Global sekitar 18,000 orang sejak akademi kami ditubuhkan pada tahun 2017.-UTUSAN