Wednesday , 25 December 2024
Home Ekonomi PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM400 bilion menjelang 2027 dengan tumpuan meningkatkan simpanan dan pelaburan pelanggannya di bawah Pelan Strategik LEAP 6.

Pelan strategik tersebut tertumpu untuk meneruskan perjalanan transformasi PNB merentasi enam teras utama iaitu Jualan dan Pengedaran, Pelaburan, Transformasi PNB Co, Pengetahuan, Inovasi dan Kelestarian.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB akan meningkatkan usaha dalam celik kewangan dengan menyediakan program dan sumber pendidikan bagi memperkasa rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan.

Bagaimanapun katanya, cabaran utama masih lagi mengenai kecenderungan rendah untuk menyimpan dan melabur dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini kerana mengikut statistik, rakyat Malaysia tidak dapat menyimpan secara berkala kerana 20 peratus tidak dapat menyimpan setiap bulan manakala 53 peratus lagi membelanjakan semua atau melebihi gaji bulanan yang diterima.

“Selain itu, tabiat melabur masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia apabila 51 peratus daripada rakyat Malaysia dewasa masih belum mula melabur manakala 40 peratus daripada rakyat Malaysia dewasa belum merancang kewangan untuk persaraan,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, beliau berkata, PNB sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan berulang oleh rakyat Malaysia melalui ciri Auto Labur menerusi aplikasi myASNB, yang membolehkan pelabur melabur secara berkala dan automatik dengan serendah RM10 sebulan.

“Kempen ini adalah bagi menggalakkan pelaburan berulang dalam kalangan rakyat Malaysia agar membina tabiat menyimpan yang baik.

“Pelaburan berulang yang konsisten untuk jangka masa panjang menjadi kunci memanfaatkan kuasa pengkompaunan bagi pemegang unit kami dengan kumpulan sasar terdiri daripada pelajar, ibu bapa muda, individu yang baru mula bekerja dan golongan profesional,” ujarnya.

Jelasnya, PNB juga akan melancarkan beberapa kempen #Simpanje bagi suku pertama 2025, bagi menggalakkan pelanggan mengekalkan pelaburan mereka untuk jangka masa panjang.

“Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha ini melalui transformasi model jualan dan pengedaran kami dan secara agresif menggalakkan simpanan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tahun ini menyaksikan komitmen berterusan PNB untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan karnival celik kewangan utamanya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), yang mencatatkan lebih 100,000 pengunjung tahun ini.

Logo baharu Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) turut diperkenalkan bagi menarik minat generasi muda, malah MSAM turut menyaksikan pelancaran Celik MADANI – Celik Kewangan Belia MADANI, inisiatif yang menyasarkan sejuta pelajar universiti untuk melabur dengan ASNB bagi menyemai lagi budaya menabung dan tabiat pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak muda. – UTUSAN

Related Articles

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 24 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Trend positif pasaran ekuiti dorong dividen ASB tertinggi sejak 2018

Ketua Perhubungan Pelabur Strategi Korporat MBSB, Azharuddin NordinKUALA LUMPUR, 24 Disember –...

Ekonomi

PNB umum dividen ASB 5.75 sen seunit, paling tinggi dalam lima tahun

Foto FB PNBKUALA LUMPUR, 24 Disember– Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), umum...