Home Ekonomi Perdagangan Malaysia lepasi RM2 trilion pada sembilan bulan pertama
Ekonomi

Perdagangan Malaysia lepasi RM2 trilion pada sembilan bulan pertama

Perdagangan Malaysia lepasi RM2 trilion pada sembilan bulan pertama

PERDAGANGAN Malaysia lepasi RM2 trilion pada sembilan bulan pertama
tahun ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia meningkat 10.2 peratus kepada RM2.14 trilion, melebihi aras RM2 trilion dalam tempoh sembilan bulan pada tempoh Januari hingga September 2024 berbanding sepuluh bulan pada tahun lalu.

Menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, peningkatan itu disokong terutamanya oleh eksport keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Jelasnya, ia sejajar dengan unjuran oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menganggarkan peningkatan eksport di Asia sebanyak 7.4 peratus pada 2024, dan eksport Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus kepada RM1.12 trilion.

“Import naik 16.1 peratus kepada RM1.02 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM91.21 bilion,” katanya.

Laporan itu menyatakan, pada September 2024, prestasi perdagangan Malaysia mengukuhkan lagi momentum peningkatannya, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kesembilan bulan berturut-turut.

“Perdagangan naik sebanyak 4.7 peratus kepada RM234.84 bilion berbanding September 2023 disokong, terutamanya oleh prestasi yang kukuh dalam sektor pertanian.

“Malaysia mencatatkan eksport bernilai RM124.01 bilion, dan import sebanyak RM110.83 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang ke-53 bulan berturut-turut.

“Pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi barangan optik dan saintifik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan,” katanya.

Selain itu, dari segi pasaran, kenaikan eksport yang ketara telah dicatatkan ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan.

“Tambahan pula, eksport ke Taiwan merekodkan nilai tertinggi setakat ini, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).

“Ini disokong oleh pertumbuhan kukuh 5.1 peratus bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada separuh pertama 2024, Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.9 peratus bagi 2024 (unjuran pada April 2024: 4.3 peratus).

“Sementara itu, WTO juga telah menyemak lebih tinggi pertumbuhan volum perdagangan barangan dunia kepada 2.7 peratus untuk 2024 (unjuran pada April 2024: 2.6 peratus).

“Ini berikutan infiasi yang lebih rendah dan persekitaran kadar faedah lebih baik, faktor yang secara amnya menggalakkan perbelanjaan perniagaan, serta meningkatkan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan pengguna,” katanya.

Tambahnya, tinjauan yang optimis itu digambarkan di dalam petunjuk makroekonomi Malaysia yang bertambah baik.

“Ini termasuk perdagangan, yang meletakkan negara ini pada landasan yang betul ke arah pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan mampan pada tahun mendatang,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion
Ekonomi

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion

PETALING JAYA: Jumlah pelaburan komited Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi tahun kewangan...

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan
Ekonomi

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan

FADILLAH Yusof semasa ucaptama di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024...

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau
Ekonomi

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZKUALA LUMPUR: ASEAN boleh menjana tambahan AS$300 bilion (RM1.27...

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat
Ekonomi

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke...