Home Ekonomi Perdagangan Malaysia kukuh, rekod jumlah tertinggi
Ekonomi

Perdagangan Malaysia kukuh, rekod jumlah tertinggi

Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan 54 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 /FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 19 November – Perdagangan Malaysia kekal kukuh dan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh 10 bulan pertama setakat ini, meningkat 9.3% kepada RM2.38 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Eksport mengembang 4.8% kepada RM1.24 trilion dan import naik 14.6% kepada RM1.14 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM102.77 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi kenyataan berkata, bagi bulan Oktober 2024, perdagangan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut.

Angka itu meningkat 2.1% kepada RM244.26 bilion.

Eksport naik 1.6% kepada RM128.12 bilion, manakala import mengembang dengan kadar yang lebih
sederhana sebanyak 2.6% kepada RM116.14 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM11.98 bilion.

Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-54 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.

Pertumbuhan eksport pada Oktober didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, yang mewakili 85.4% daripada jumlah eksport.

Peningkatan telah dicatatkan sebanyak 1.9% kepada RM109.46 bilion berikutan kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik, pengeluaran getah, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Dari segi pasaran, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport ke Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Taiwan.

Berbanding September 2024, perdagangan, eksport dan import pada Oktober 2024 masing-masing meningkat sebanyak 4.2%, 3.7% dan 4.8 peratus.

Related Articles

Gas Malaysia beri bantuan mangsa letupan Putra Heights
Ekonomi

Gas Malaysia beri bantuan mangsa letupan Putra Heights

MOHAMAD Farid Ghazali (kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Haniff Zainal Abidin...

Proton X50 baharu diperkenalkan pada media
Ekonomi

Proton X50 baharu diperkenalkan pada media

PROTON X50 baharu.PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan Proton X50 terbaharu...

Kerajaan timbang undang-undang khusus kawal selia AI – Gobind
Ekonomi

Kerajaan timbang undang-undang khusus kawal selia AI – Gobind

GOBIND SINGH DEOKUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang...

Takaful Ikhlas perluas akses takaful kepada pekerja Prasarana
Ekonomi

Takaful Ikhlas perluas akses takaful kepada pekerja Prasarana

WAN Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi (dua kanan) bergambar bersama wakil-wakil syarikat...