Home Ekonomi Pengasas Speed Mart muncul dalam senarai individu terkaya Forbes Malaysia
Ekonomi

Pengasas Speed Mart muncul dalam senarai individu terkaya Forbes Malaysia

Pengasas Speed Mart muncul dalam senarai individu terkaya Forbes Malaysia

LEE THIAM WAH

PETALING JAYA: Pengasas 99 Speed Mart Holdings, Lee Thiam Wah antara tiga individu baharu yang tersenarai dalam senarai 50 individu terkaya di Malaysia.

Dengan kekayaan beliau melonjak kepada AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) selepas penyenaraian syarikat itu, beliau membuat penampilan pertama pada kedudukan kelapan dalam senarai 50 Individu Terkaya Forbes Malaysia 2025.

Saham 99 Speed Mart, rangkaian peruncitan terbesar di Malaysia berdasarkan bilangan cawangan, mula diniagakan di Bursa Malaysia pada harga RM1.85 sesaham pada 8 September tahun lalu.

Selain itu, seorang lagi muka baharu dalam senarai tersebut ialah bekas pegawai polis, Tan Boon Hock yang memiliki kekayaan luar biasa sebanyak AS$490 juta (RM2.16 bilion), meletakkannya di kedudukan ke-40.

Menurut Forbes, portfolio Boon Hock termasuk rangkaian klinik pembedahan mata laser dan syarikat yang mengkhusus dalam sistem pengurusan trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Turut pertama kali menyertai senarai itu ialah waris kepada mendiang Ananda Krishnan, seorang tokoh yang sering tersenarai sebelum meninggal dunia pada November tahun lalu pada usia 86 tahun, mengetuai empayar perniagaan dari telekomunikasi ke tenaga, termasuk penyedia TV berbayar Astro, gergasi telekomunikasi Maxis dan syarikat perkhidmatan medan minyak Bumi Armada.

Waris beliau, yang mewarisi kekayaan sebanyak AS$5.3 bilion (RM23.3 bilion), kini berada di kedudukan kelima dalam senarai tersebut.

Dalam pada itu, Ketua empayar dari agribisnes ke perhotelan, Robert Kuok, dengan nilai bersih AS$11.4 bilion (RM50.3 bilion) masih kekal di kedudukan pertama dalam senarai.

Pada usia 101 tahun, beliau juga merupakan individu tertua dalam senarai tersebut, namun usia tidak menjadi penghalang.

Menurut kenyataan Forbes, jutawan yang berpangkalan di Hong Kong itu sudah merancang pembangunan pusat data yang besar di Johor.

Di kedudukan kedua ialah Quek Leng Chan, individu di sebalik konglomerat Hong Leong yang terlibat dalam bidang perbankan, pembuatan, pengedaran, hartanah dan pembangunan infrastruktur.

Nilai bersih beliau meningkat AS$1 bilion (RM4.41 bilion) daripada tahun lalu kepada AS$11.4 bilion (RM43.2 bilion), hasil jualan kukuh dalam perniagaan keluarga beliau dari kewangan hingga makanan.

Dalam pada itu, anak-anak kepada pengasas Public Bank, Teh Hong Piow, juga mencatatkan peningkatan kekayaan sebanyak sembilan peratus kepada AS$5.9 bilion (RM26 bilion), mengekalkan mereka di kedudukan ketiga dalam senarai.

Melengkapkan lima teratas ialah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat aluminium Press Metal, Koon Poh Keong bersama adik-beradiknya yang berjaya meningkatkan nilai kekayaan kolektif kepada AS$5.4 bilion (RM23.8 bilion), serta keluarga Ananda Krishnan.

Jumlah kekayaan 50 individu terkaya di Malaysia meningkat kepada AS$90 bilion (RM397.1 bilion) daripada AS$83.4 bilion (RM368 bilion) tahun lalu.

Sementara itu, Jeffrey Cheah, yang mengetuai kumpulan hartanah dan pembinaan Sunway merupakan antara 30 individu yang berjaya menambah kekayaan dalam tempoh setahun lalu.

Cheah, yang berada di kedudukan kesembilan, kini mempunyai kekayaan bernilai AS$3 bilion (RM13.2 bilion), meningkat sebanyak AS$600 juta (RM2.6 bilion) hasil kenaikan harga saham Sunway, yang merancang untuk menyenaraikan unit penjagaan kesihatan mereka tahun depan.

Manakala, pemilik Pavilion Mall, Desmond Lim, yang sebelum ini terkeluar daripada senarai, kembali semula tahun ini dengan nilai bersih AS$420 juta (RM1.8 bilion), apabila Pavilion REIT mendapat manfaat daripada sewaan yang lebih tinggi.

Beliau kini berada di kedudukan ke-44 dalam senarai 50 Individu Terkaya Forbes Malaysia. – UTUSAN

Related Articles

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China
Ekonomi

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China

PETALING JAYA: Sektor sarung tangan getah tempatan dijangka terjejas susulan pengurangan sementara...

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion
Ekonomi

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion

Orang ramai menjadikan Kompleks Sogo salah satu pusat beli belah utama untuk...

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR
Ekonomi

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Pendekatan wilayah dilihat sebagai jalan tengah yang lebih adil...

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini
Ekonomi

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat....