Home Ekonomi Pasukan Formula 1 Mercedes-AMG rai ulang tahun ke-50 Petronas
Ekonomi

Pasukan Formula 1 Mercedes-AMG rai ulang tahun ke-50 Petronas

Pasukan Formula 1 Mercedes-AMG rai ulang tahun ke-50 Petronas

LEWIS Hamilton (kiri) dan George Russell melawat Menara Berkembar Petronas bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Petronas baru-baru ini.

PETALING JAYA: Prinsipal Pasukan Formula Satu Mercedes-AMG Petronas, Toto Wolff dan pelumba, Lewis Hamilton dan George Russell melawat Menara Berkembar Petronas bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Petronas baru-baru ini.

Toto yang berada di Kuala Lumpur menjelang Grand Prix Singapura, bertemu kembali dengan 43 bekas pelatih program latihan enam bulan Petronas dan Mercedes, yang telah mengalu-alukan minda muda paling cemerlang Malaysia ke ibu pejabat pasukan di United Kingdom sejak 2011.

Pada sesi tersebut, Toto ditemani oleh tiga bekas pelatih iaitu seorang dari program latihan 2013 yang kini menjadi pengurus di Petronas dan dua pelajar yang baru sahaja menamatkan latihan mereka pada Julai tahun ini.

Toto berkata, ia adalah detik yang membanggakan melihat ramai bekas pelatih Petronas seawal pengambilan 2013.

“Sangat gembira melihat bagaimana pelatih ini telah berkembang dan menjadi lebih senior dalam kerjaya mereka. Program ini tidak seperti latihan amali konvensional yang lain dan memberi peluang untuk belajar dalam persekitaran yang pantas.

“Selain itu, meneroka pelbagai bidang dalam pasukan yang membolehkan para peserta mengembangkan kemahiran mereka dan merenung dengan tepat apa yang mereka mahu kejar dalam kerjaya mereka,” katanya dalam kenyataan.

Permohonan untuk Kohort terbaharu yang kini dibuka akan ke Brackley, United Kingdom pada Januari tahun depan.

Toto juga bertemu dengan pasukan kepimpinan kanan Petronas untuk membincangkan pelbagai topik termasuk bahan api lestari dan inovasi.

Kedua-dua organisasi telah memacu kejayaan di dalam dan di luar trek sejak bekerjasama pada 2010.

Pada acara berasingan, Lewis dan George, yang tiba selepas Grand Prix, mengambil bahagian dalam sesi soal jawab khas dengan 900 pekerja Petronas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), turut berkongsi tentang warisan kejayaan kerjasama antara Petronas dan Mercedes.

Lewis berkata, beliau menghargai kerja keras yang dilakukan oleh pasukan untuk menyokongnya dan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 sepanjang kerjaya beliau.

Sementara itu, George berkata, sungguh hebat dapat mengunjungi Malaysia dan Kuala Lumpur untuk melihat keluarga besar di Petronas, terutamanya kali ini ketika kita meraikan ulang tahun ke-50 mereka.

“Ia istimewa datang ke sini, kerana kami mendapat begitu banyak sokongan dari semua orang yang bekerja dan menyumbang kepada kejayaan pasukan. 

“Petronas adalah sebahagian penting dari apa yang berlaku di Pasukan Formula Satu Mercedes-AMG Petronas dan saya sentiasa teruja mendengar tentang projek masa depan,” ujarnya.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dijangka didagang dalam julat 4.42-4.43 berbanding Dolar AS minggu depan

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 7 Disember– Ringgit dijangka didagangkan dalam julat 4.42 hingga...

Ekonomi

Niaga hadapan emas diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 7 Disember– Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM dijangka cenderung meningkat minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 7 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Pasaran getah dijangka alami dagangan berjulat kecil minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 7 Disember- Pasaran getah tempatan dijangka mengalami dagangan dalam...