KUALA LUMPUR, 14 Disember – Dagangan di Bursa Malaysia dijangka lemah minggu depan apabila para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dari 17-18 Disember untuk memutuskan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata apabila perhatian beralih kepada mesyuarat FOMC yang akan datang, inflasi yang menyederhana, walaupun pada kadar yang lebih perlahan memberi ruang kepada Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk meneruskan kitaran penurunan kadar faedahnya.
\”Kemungkinan besar mesyuarat akhir tahun itu akan menurunkan kadar pada 25 mata asas, walaupun kadar pengurangannya mungkin perlahan kerana bank pusat menyasarkan penurunan pertumbuhan tanpa menyebabkan kemelesetan.
\”Jangkaan pasaran pada masa ini menunjukkan kemungkinan 96 peratus penurunan 25 mata asas, dengan kurang daripada empat peratus menjangkakan kadar akan kekal tidak berubah,\” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Mohd Sedek menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam jajaran 1,615 hingga 1,625 minggu depan, disokong oleh keyakinan terhadap penurunan kadar Fed.
\”Ini sejajar dengan sasaran FBM KLCI 2024 kami pada 1,650. Oleh itu kami menjangkakan paras rintangan Indeks Komposit (berada) berada sekitar 1,616-1,622,\” katanya.
Selain itu, beliau berkata, saham berkaitan dengan rantaian bekalan pusat data, teknologi dan sektor perbankan dijangka meningkat sekiranya Fed meneruskan penurunan kadarnya.
\”Bagaimanapun, jika Fed memilih untuk mengekalkan kadar pada 4.50 peratus – 4.75 peratus, pasaran ekuiti boleh menjadi negatif, berkemungkinan menyebabkan peningkatan turun naik di Wall Street, yang berpotensi menular ke pasaran serantau,\” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dijangka mengumumkan data perdagangan luar bagi bulan November 2024.
Pada Oktober, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
\”Bagi November dan Disember, kami menjangkakan peningkatan, disokong oleh pemulihan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan permintaan yang lebih kukuh terhadap komoditi bukan E&E, yang akan memberikan sokongan seterusnya kepada pertumbuhan eksport,\” kata Mohd Sedek.
Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI susut 4.50 mata kepada 1,608.75 daripada 1,613.25 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas menambah 9.17 mata kepada 12,356.07, Indeks FBMT 100 naik 9.58 mata kepada 12,037.28, Indeks FBM 70 melonjak 172.0 mata kepada 18,572.21, Indeks FBM Emas Shariah menokok 49.06 mata kepada 12,372.19 dan Indeks FBM ACE mengukuh 2.97 mata kepada 5,310.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 48.18 mata kepada 19,117.43, Indeks Penjagaan Kesihatan menokok 29.98 mata kepada 2,333.66 dan Indeks Perladangan turun105.21 mata kepada 7,635.05.
Indeks Teknologi menambah 1.85 mata kepada 63.70, Indeks Tenaga turun 9.13 mata kepada 820.0 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.03 mata kepada 175.77.
Jumlah dagangan mengecil kepada 14.46 bilion unit bernilai RM12.43 bilion berbanding 16.18 bilion unit bernilai RM14.54 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.74 bilion saham bernilai RM11.18 bilion daripada 8.74 bilion saham bernilai RM13.23 bilion.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 4.53 bilion unit bernilai RM606.64 juta berbanding 4.86 bilion unit bernilai RM1.36 bilion.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 2.14 bilion saham bernilai RM637.07 juta berbanding 2.53 bilion saham bernilai RM835.68 juta.-Livevartha