Wednesday , 23 April 2025
Home Ekonomi Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan
Ekonomi

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan

PENINGKATAN gaji minimum boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Pasaran buruh yang lebih dinamik dengan pekerja mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran dan mobiliti pekerjaan boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ini dapat dibantu melalui pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan pendapatan.

“MEF juga sentiasa menyokong inisiatif kerajaan berkaitan pendidikan dan latihan untuk mengurangkan jurang pendapatan.

“Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk menyediakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lebih mantap akan memastikan graduannya mempunyai kemahiran yang diperlukan di pasaran buruh semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut menyarankan agar kadar gaji di Malaysia diteliti dalam konteks produktiviti, daya saing perniagaan, dan keupayaan syarikat untuk lebih mampan .

“MEF berpendapat, kadar gaji hendaklah di nilai berdasarkan sumbangan pekerja kepada syarikat. Jika produktiviti tidak seiring dengan peningkatan produktiviti pekerja, kenaikan gaji untuk mengurangkan jurang pendapatan sukar dilaksanakan,” katanya.

Syed Hussain berkata, kerajaan disaran melaksanakan dasar yang holistik dan berkesan, yang mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk majikan sektor swasta.

“Kestabilan politik dan ekonomi adalah amat kritikal untuk menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti.

“Dasar yang diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan menyeluruh dan mengambil kira realiti perniagaan.

“Sebarang langkah yang terlalu drastik dan tidak dirancang dengan teliti boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, di negara-negara seperti Malaysia, golongan pertengahan juga membentuk satu bahagian besar masyarakat.

“Namun, masalah utama adalah ketidakseimbangan dalam kenaikan pendapatan tahunan antara golongan-golongan ini, terutama B40 yang sering tertinggal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif, seperti memperkenalkan polisi gaji minimum RM1,700 dan akan melaksanakan polisi gaji progresif yang memberi manfaat kepada semua golongan pendapatan.

Selain itu, beliau berkata, pada akhir 2024, gaji kakitangan awam juga telah diselaraskan dan bayaran pencen bagi kakitangan awam serta anggota keselamatan awam masih dalam proses.

“Kenaikan kos sara hidup yang tinggi selepas inflasi pasca-pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada pendapatan rakyat dan perniagaan.

“Dalam ekonomi kapitalis, kadar faedah digunakan sebagai salah satu alat dasar monetari untuk mengawal inflasi, namun ia bukan penyelesaian lengkap kerana terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN

Related Articles

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini
Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini

PERTUMBUHAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berisiko lebih rendah tahun ini....

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ
Ekonomi

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) komited dalam kemudahan pembiayaan sebanyak...

Ekonomi

Emas ditutup tinggi susulan ketidaktentuan politik, ekonomi global

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin...

Ekonomi

PEOPLElogy Bhd sedia tersenarai di Bursa Malaysia 20 Mei ini

PEOPLElogy Bhd mengesahkan komitmennya untuk meneruskan rancangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa...