Sunday , 22 December 2024
Home Ekonomi Orkim terima kontrak sewa khas kapal daripada Shell
Ekonomi

Orkim terima kontrak sewa khas kapal daripada Shell

Orkim terima kontrak sewa khas kapal daripada Shell

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Orkim Sdn. Bhd. (Orkim) menandatangi perjanjian sewa khas jangka panjang dengan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd. untuk menyerahkan dua kapal tangki baharu. 

Kerjasama itu menandakan satu kemajuan besar dalam sektor maritim dan tenaga di Malaysia serta mengukuhkan lagi komitmen Orkim untuk menambah baik infrastruktur logistik dan pengedaran bahan api negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata, perjanjian itu memperlihatkan komitmen tidak berbelah bahagi pihaknya untuk menyediakan penyelesaian logistik yang boleh dipercayai. 

Katanya, ini sekali gus mengukuhkan kerjasama berterusan selama 15 tahunnya dengan Shell Malaysia Trading dan Shell Timur  dalam pengangkutan dan pengedaran Produk Petroluem Bersih (CPP) ke seluruh Malaysia dan Singapura. 

“Perjanjian ini juga merupakan satu mercu jaya yang penting bagi Orkim dengan peluasan angkatan kapal kami, iaitu angkatan terbesar di negara ini bagi pengangkutan CPP.

“Penyerahan dua kapal tangki baharu ini dijadualkan pada suku keempat 2026 dan bakal memainkan peranan penting bagi mengangkut CPP Shell ke seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur. 

“Kapal-kapal ini akan meningkatkan keupayaan angkatan kami dengan ketara dan mengukuhkan komitmen kami kepada kelestarian dan penjagaan alam sekitar dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kapal-kapal itu akan melindungi ekosistem marin dan melanjutkan lagi inisiatif kelestarian Shell Malaysia dengan dibina berlandaskan teknologi cekap guna bahan api, termasuk Sistem Rawatan Air Balast. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Bahagian Hiliran Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain berkata, perjanjian itu memaparkan dedikasi Shell untuk menggalakkan pertumbuhan industri tempatan. 

“Pakatan ini menandakan satu mercu jaya penting dalam komitmen kami untuk menyokong dan memajukan barisan kontraktor tempatan menerusi strategi kerjasama jangka panjang. 

“Di Shell, kami teruja untuk berganding bahu dengan Orkim dan yakin kerjasama ini akan menggalakkan lagi penglibatan peserta industri tempatan, menerusi inisiatif yang akan terus membangunkan lagi keupayaan mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Orkim dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir  menambah bahawa perjanjian itu adalah penting dan amat bermakna kepada pertumbuhan Orkim.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami kepada kecemerlangan operasi, inovasi dan pertumbuhan lestari dalam sektor tenaga. 

“Kami yakin bahawa pakatan yang terjalin ini akan dapat membuka peluang baharu dan menjana nilai jangka panjang bagi semua pihak yang terbabit,” katanya. 

Orkim mengendalikan angkatan kapal CPP terbesar Malaysia, yang terdiri daripada 17 kapal tangki CPP dan dua kapal tangki gas petroleum cecair (LPG).

Selama ini, Orkim telah membina reputasi kukuh sebagai rakan yang boleh dipercayai dalam pengangkutan minyak dan logistik maritim.-UTUSAN

Related Articles

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Saham KL susut diasak tekanan jualan, jejak prestasi serantau

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Dagangan saham di Bursa Malaysia mengakhiri urus...

Ekonomi

Inflasi November turun kepada 1.8 peratus – DOSM

DOSMKUALA LUMPUR, 20 Disember- Kadar inflasi Malaysia bagi November 2024 susut kepada...