PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyemak semula Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.52 peratus dan 6.47 peratus setahun, berkuat kuasa 10 Julai 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pelarasan itu dibuat susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus yang diumumkan hari ini.
“Langkah strategik ini dijangka menyokong aktiviti ekonomi serta memberi kelegaan kewangan kepada individu dan perniagaan yang mempunyai pembiayaan dikaitkan dengan SBR, BR atau BFR.
“Bank Islam kekal komited memacu pertumbuhan ekonomi dan terus responsif terhadap keperluan pelanggan yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penurunan OPR itu juga memberi ruang kepada bank untuk mengembangkan portfolio pembiayaan, mengukuhkan hubungan dengan pelanggan serta mengekalkan kualiti aset.
Selain itu, ia membuka peluang kepada Bank untuk memperluas capaian kepada segmen kurang mendapat perkhidmatan perbankan, melalui akses digital yang dipertingkatkan menerusi platform seperti aplikasi BIMB Mobile dan Be U by Bank Islam.
“Sebagai sebuah institusi kewangan yang berprinsip dan bertanggungjawab, kami melihat penurunan OPR ini sebagai peluang untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh ketahanan kewangan, khususnya bagi golongan yang paling terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.
“Peranan kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan mampu milik, malah kami berhasrat menyumbang ke arah ekosistem ekonomi yang lebih inklusif dan mampan untuk semua,” katanya. – UTUSAN