Sunday , 22 December 2024
Home Ekonomi Northport siap kerja lebih awal lapangan kontena Blok K 
Ekonomi

Northport siap kerja lebih awal lapangan kontena Blok K 

Northport siap kerja lebih awal lapangan kontena Blok K 

AZMAN Shah Mohd Yusof (dua dari kiri) pada majlis penyerahan Lapangan kontena terbaharu, Blok K di Northport.

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd (Northport) mengumumkan siap kerja lapangan kontena terbaharu, Blok K yang merupakan satu kejayaan penting dalam komitmen berterusan Northport untuk meningkatkan keupayaan dan perkhidmatannya.

Lapangan kontena Blok K baharu dengan 2,016 jumlah slot tapak (TGS) ini telah memberi tambahan kapasiti sebanyak 662,256 unit bersamaan 20 kaki (TEU) berdasarkan hari simpanan selama lima hari, menjadikan jumlah kapasiti keseluruhan lapangan kontena Northport kepada 6,150,250 TEU setahun. 

Pembinaan kemudahan terminal terbaharu ini telah bermula pada 14 Ogos 2023 dan telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, lapangan kontena Blok K baharu ini akan meningkatkan kapasiti keseluruhan Northport dengan ketara bagi mengendalikan jumlah kontena yang lebih tinggi. 

“Projek yang telah berjaya disiapkan 51 hari lebih awal daripada jadual ini menzahirkan prestasi cemerlang kontraktornya iaitu MMC Engineering Sdn. Bhd.,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas beliau, selaras dengan komitmen Northport terhadap kelestarian, lapangan kontena baharu ini akan disokong dengan penggunaan jentera kren mesra alam, Electrified RubberTyred Gantry (E-RTG) dan sebanyak 12 unit telah dibeli untuk operasi di Blok K. 

“Lapan unit pertama dijangka tiba pada bulan Disember 2024, manakala baki empat unit lagi akan tiba menjelang Mac 2025. 

“Pelaburan dalam teknologi hijau ini menyerlahkan dedikasi Northport untuk mengurangkan jejak karbonnya dan menggalakkan operasi pelabuhan mesra alam,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pembangunan Blok K adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Reinventing Northport’.

“Penyempurnaannya akan memberikan lonjakan ketara kepada keupayaan kami dan menyerlahkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia. 

“Di samping itu, ia mengukuhkan dedikasi kami terhadap produktiviti yang tinggi dalam memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan menyesuaikan diri dengan permintaan dinamik industri perkapalan global,” katanya. 

Menurut beliau, pembinaan Blok K adalah antara komponen utama dalam rancangan transformasi ‘Reinventing Northport’ yang lebih luas. 

“Inisiatif komprehensif ini yang diperkenalkan sejak pengambilalihan Northport oleh MMC Corporation Berhad pada Januari 2016 bertujuan untuk menangani beberapa isu dan cabaran utama yang telah diwarisi sekian lama, termasuk produktiviti yang rendah, jumlah kendalian yang menurun dan peralatan jentera yang lama. 

“Dengan mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan terminal, serta menaik taraf peralatan jentera, Northport bersedia untuk menambahbaik produktiviti dan kecekapan operasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan pertumbuhan yang mampan dalam industri yang sentiasa berkembang.

“Sebelum Blok K siap dibina, Northport telah berjaya membangunkan sebuah lagi lapangan kontena baharu iaitu Blok J,” katanya. 

Jelas Azman Shah, kemudahan infrastruktur yang telah siap dibina pada 27 Mei 2023 tersebut telah memberi tambahan sebanyak 529,980 TEU kepada kapasiti keseluruhan lapangan kontena Northport dan telah menetapkan aras bagi projek Blok K yang lebih besar.

Bagi lapan bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 2,441,706 TEU kontena, iaitu peningkatan ketara sebanyak 17.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Dengan prestasi kukuhnya setakat ini, Northport bersedia untuk mengakhiri tahun 2024 dengan lebih baik dan berpotensi menjadikan tahun ini sebagai salah satu tahun berprestasi tinggi untuk segmen perniagaan kontenanya.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham
Ekonomi

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan...

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...