Home Ekonomi Niaga hadapan saham AS menjunam, isyarat kejatuhan lanjut di Wall Street
Ekonomi

Niaga hadapan saham AS menjunam, isyarat kejatuhan lanjut di Wall Street

Foto Reuters

NEW YORK, 7 April – Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dijangka terus bergolak apabila niaga hadapan saham dibuka lemah lewat Ahad, susulan kejatuhan ketara selama dua hari berturut-turut yang telah menghapuskan nilai pasaran ekuiti sebanyak trilion dolar, berikutan pengumuman tarif oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Niaga hadapan S&P 500 E-minis dilaporkan merosot 4 peratus, manakala Dow E-minis susut 3.8 peratus dan Nasdaq 100 E-minis pula menjunam 4.6 peratus semasa sesi pembukaan.

Kejatuhan itu berlaku selepas indeks penanda aras S&P 500 merosot 10.5 peratus dalam dua hari pasca pengumuman tarif oleh Trump pada Rabu lalu.

Nilai pasaran yang hilang dianggarkan mencecah AS$5 trilion – mencatatkan kejatuhan dua hari terbesar sejak pandemik Mac 2020.

Kini, S&P 500 telah susut lebih 17 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa yang dicatatkan pada 19 Februari, menghampiri ambang pasaran menurun (bear market) yang lazimnya ditakrifkan sebagai kejatuhan 20 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Pelaburan Siebert Financial, Mark Malek, pasaran kenaikan atau bull market telah pun berakhir.

“Kita mungkin akan menyaksikan sedikit kenaikan teknikal dalam beberapa hari akan datang, namun ia tidak akan kekal lama,” katanya sambil menyatakan bahawa pengumuman tarif yang bertepatan dengan musim pelaporan pendapatan suku pertama turut memburukkan lagi sentimen pasaran.

Sementara itu, dalam rancangan bual bicara Ahad pagi di NBC News, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, cuba meredakan kebimbangan dengan menyatakan bahawa tiada sebab untuk menjangka kemelesetan ekonomi, dan tarif tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada strategi semula ekonomi negara.

Namun begitu, penganalisis pasaran kekal berhati-hati terhadap jangkaan pemulihan.

“Kemungkinan untuk melihat hari yang positif minggu ini tetap ada,” kata Steve Sosnick, Ketua Strategi Pelaburan di Interactive Brokers.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Pelaburan F/m Investments, Alex Morris, memberi amaran bahawa sebarang pemulihan sebenar mungkin hanya akan berlaku dalam tiga atau empat minggu lagi.

“Ketika itulah pelabur akan mula berkata, ‘kita sudah cukup mengempiskan belon,’” ujarnya.

Pasaran kini menanti reaksi lanjut daripada rakan dagang global terhadap tarif tersebut, yang dijangka terus mewarnai dinamik perdagangan dan pelaburan dalam minggu-minggu mendatang.-REUTERS

Related Articles

Ekonomi

Saham Asia & harga minyak menjunam, pasaran desak Fed turunkan kadar faedah

Foto ReutersSYDNEY, 7 April – Pasaran saham Asia menjunam semalam susulan kebimbangan...

Ekonomi

MITI bawa usul kesan tarif AS ke mesyuarat ASEAN minggu hadapan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto FB Anwar IbrahimKUALA LUMPUR,...

Ekonomi

PKS perlu pelbagaikan sumber dan pelanggan

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 5 April – Perusahaan kecil dan sederhana...

Ekonomi

Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.41-4.442 minggu depan

Foto FailKUALA LUMPUR, 5 April– Ringgit diunjur diniagakan antara paras 4.41 dan...