Monday , 23 December 2024
Home Ekonomi Niaga hadapan MSM dijangka cenderung meningkat minggu depan
Ekonomi

Niaga hadapan MSM dijangka cenderung meningkat minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan memandangkan prospek output yang lebih lemah pada beberapa minggu akan datang.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pedagang akan memantau dengan teliti situasi banjir di Malaysia dan laporan bulanan bekalan dan permintaan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia minggu depan.

“Mengenai situasi banjir, ia bergantung kepada keadaan cuaca. Sukar untuk mengetahui sama ada ia akan berlanjutan pada minggu depan tetapi pasaran menjangkakan output akan lemah untuk bulan ini.

“Banjir berkemungkinan akan menyumbang kepada harga komoditi yang lebih tinggi. Oleh itu, kami menjangkakan harga diniagakan antara RM5,100 dan RM5,250 setan,” katanya kepada Bernama.

Memetik syarikat AmSpec Agri Malaysia, beliau berkata eksport minyak sawit Malaysia bagi 1-30 Nov jatuh 10.35 peratus bulan ke bulan disebabkan permintaan minyak sawit yang lebih rendah mengikut musim.

Sementara itu, data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan anggaran pengeluaran minyak sawit di kilang semenanjung selatan untuk 1-30 Nov berbanding 1-31 Okt turun 5.30 peratus.

“Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menjangkakan pengeluaran minyak sawit Malaysia turun 10.33 peratus bagi tempoh 1-30 Nov,” tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Disember 2024 melonjak RM98 kepada RM5,336 setan, Januari 2025 meningkat RM117 kepada RM5,242 setan, Februari 2025 naik RM108 kepada RM5,128 setan, Mac 2025 bertambah RM80 kepada RM4,983 setan, April 2025 melonjak RM47 kepada RM4,819 setan dan Mei 2025 menambah RM22 kepada RM4,662 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 441,315 lot daripada 402,631 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 234,629 kontrak daripada 227,559 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan meningkat RM80 kepada RM5,380 setan.- Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham
Ekonomi

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan...

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...