Monday , 23 December 2024
Home Ekonomi MRCB catat hasil lebih rendah bagi tempoh sembilan bulan
Ekonomi

MRCB catat hasil lebih rendah bagi tempoh sembilan bulan

MRCB catat hasil lebih rendah bagi tempoh sembilan bulan

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan pendapatan lebih rendah sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024 berbanding RM1.85 bilion dalam tempoh sama pada 2023. 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula sebanyak adalah RM69.6 juta pada tempoh itu berbanding RM54.5 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelum. 

Menurut kenyataan, penurunan pendapatan itu disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian pembangunan dan pelaburan hartanah selepas penyempurnaan dua projek pembangunan hartanah utama pada 2023.

“Ini termasuk pengiktirafan pendapatan yang lebih rendah daripada projek Laluan Rel Ringan 3 (LRT3) yang hampir siap. 

“Walau bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 28 peratus dalam tempoh itu berbanding tempoh yang sama pada 2023, disebabkan oleh pengiktirafan keuntungan yang lebih tinggi dalam bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar,” katanya. 

Jelasnya, walaupun pendapatan dalam bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar menurun sebanyak 26 peratus kepada RM984.8 juta itu berbanding tempoh yang sama pada 2023, bahagian ini mencatatkan peningkatan 65 peratus dalam keuntungan operasi kepada RM144.9 juta. 

“Pendapatan bahagian ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh projek LRT3 bernilai RM11.4 bilion dan projek mitigasi banjir Fasa 3 Muara Sungai Pahang bernilai RM380 juta, yang masing-masing mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 97 peratus dan 49 peratus. 

“Pertumbuhan masa depan untuk bahagian ini akan didorong oleh penganugerahan projek yang signifikan, seperti pembangunan semula Stadium Shah Alam dan Stesen Sentral Kuala Lumpur serta pembinaan lima stesen tambahan dan kerja infrastruktur berkaitan untuk projek LRT3,” katanya. 

Sementara itu, bahagian pembangunan dan pelaburan hartanah mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 49 peratus kepada RM234.5 juta dalam tempoh tersebut  berbanding tempoh yang sama pada 2023.

“Kerugian operasi sebanyak RM16.8 juta, mencerminkan penyempurnaan projek pembangunan besar pada 2023 dan projek baharu kumpulan yang masih berada dalam fasa pembangunan awal, apabila tiada pendapatan yang dapat diiktiraf. 

“Pendapatan yang diiktiraf sebahagian besarnya adalah daripada jualan unit yang belum terjual dari pembangunan siap kumpulan seperti Sentral Suites, VIVO 9 Seputeh dan TRIA 9 Seputeh. 

“Bahagian ini mencatatkan jualan belum dibil sebanyak RM630.5 juta setakat 30 September 2024, dengan sebahagian besar daripadanya datang daripada pembangunan kediaman VISTA di Gold Coast, Australia,” ujarnya.

Tambahnya, pembangunan itu mencatatkan jualan kukuh dengan 53 peratus daripada semua unit yang tersedia terjual setakat 30 September 2024.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 23 Disember – Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding...

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal
Ekonomi

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal

NOR Hasheera Hanafi belajar membuat kek daripada ibu mertuanya.PETALING JAYA: Pengusaha bakeri,...

Ekonomi

Langkah interim BNM bantu imbangi kos penjagaan kesihatan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 22 Disember – Langkah interim yang diperkenalkan Bank Negara...

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...