Home Ekonomi MPOB tumpu R&D hasil baka sawit unggul untuk tingkat pengeluaran
Ekonomi

MPOB tumpu R&D hasil baka sawit unggul untuk tingkat pengeluaran

MPOB tumpu R&D hasil baka sawit unggul untuk tingkat pengeluaran

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 September– Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan baka sawit unggul bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran sawit negara tanpa perlu menambah luas kawasan tanaman.

MPOB dalam satu kenyataan berkata usaha itu selari dengan komitmen negara terhadap pemuliharaan biodiversiti dan hutan hujan tropika dan yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992, dengan Malaysia masih mengekalkan lebih 50 peratus kawasan litupan hutan di negara ini.

Menurut kenyataan itu juga, semalam Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan MPOB Kluang untuk memantau aktiviti R&D yang dilaksanakan di stesen tersebut.

Semasa lawatan itu Johari turut meluangkan masa menanam anak pokok sawit baka Siri Klon Sawit 3 (CPS 3) yang berprestasi tinggi.

Baka sawit elit yang diperkenalkan MPOB pada 2020 itu mempunyai 89.7 peratus nisbah mesokarp pada setiap buah sawit yang menjamin kadar penghasilan minyak jauh lebih tinggi berbanding baka sawit lain.

Selain itu, beliau juga dibawa melawat plot penyelidikan germplasm Nigerian terawal, serta pusat sumber pendebungaan komersial dan plot tanaman PS 1.1 virescens.

Johari turut menekankan kepentingan untuk memilih baka dan bahan tanaman terbaik semasa proses tanaman semula sawit bagi memastikan hasil dan produktiviti sawit yang ditanam dapat memberi keuntungan terutamanya kepada pekebun kecil.

Menurut kenyataan itu, MPOB mempunyai pusat koleksi germplasma sawit terbesar di dunia.

Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) MPOB menggunakan germplasma sawit untuk tujuan penyelidikan berasaskan bioteknologi dan pembiakbakaan bagi penghasilan benih baharu yang berprestasi tinggi yang memiliki ciri-ciri unik untuk dijadikan bahan tanaman elit bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sawit negara. – Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Lawatan Xi Jinping buka laluan kerjasama strategik baharu Malaysia-China

Sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai merangkumi sektor kritikal: ekonomi, perdagangan, pendidikan,...

Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana...

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...