Home Ekonomi MITI tubuh pasukan petugas kaji impak tarif baharu AS terhadap ekonomi negara
Ekonomi

MITI tubuh pasukan petugas kaji impak tarif baharu AS terhadap ekonomi negara

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 April – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengumpul maklum balas daripada semua pihak berkepentingan susulan pengumuman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Rabu lalu.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pasukan tersebut akan menjalankan kajian impak terhadap sektor-sektor eksport utama negara ke AS bagi memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terjejas secara serius akibat tindakan unilateral tersebut.

“Esok, MITI akan mengadakan pertemuan bersama wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport. MITI juga akan berlibat urus dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, BNM, MIDA, MATRADE, DOSM dan lain-lain bagi mempertimbangkan pendekatan yang menyeluruh,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Tambah beliau, Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut diaktifkan bagi menyelaras respons strategik negara terhadap perkembangan tersebut.

“MITI sedang menjalankan kajian impak kepada sektor eksport utama dan hasil kajian itu akan dibentangkan dalam mesyuarat NGCC yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Di peringkat serantau, satu mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dijadualkan berlangsung pada 10 April ini bagi membincangkan kesan tarif AS terhadap perdagangan, pelaburan, kestabilan makroekonomi dan usaha respons kolektif ASEAN.

“Pemimpin ASEAN akan turut bertemu untuk merangka hala tuju bersama dalam menangani gangguan terhadap perdagangan, rangkaian bekalan dan pelaburan serantau,” jelas beliau.

MITI juga akan meneruskan penglibatan strategik peringkat tinggi dengan Amerika Syarikat melalui Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-AS (TIFA).

“MITI sedang mempertimbangkan untuk merundingkan pengecualian sektor tertentu selain mengadakan perjanjian perlindungan teknologi, khususnya bagi melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa negara.

“Pagi ini saya telah bertemu dengan Duta Besar AS, dan rundingan selanjutnya akan dijalankan,” tambah Tengku Zafrul.

Related Articles

Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana...

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...

Ekonomi

Ringgit diunjur mendatar berbanding dolar AS minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 19 April- Ringgit dijangka diniagakan mendatar dalam julat 4.41...