Wednesday , 26 February 2025
Home Ekonomi MITI sasar jumlah perdagangan tahun ini naik lima peratus
Ekonomi

MITI sasar jumlah perdagangan tahun ini naik lima peratus

MITI sasar jumlah perdagangan tahun ini naik lima peratus

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan jumlah perdagangan keseluruhan tahun ini meningkat 5.0 peratus daripada RM2.879 trilion yang direkodkan pada 2024.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bagaimanapun prospek itu masih bergantung kepada risiko luaran termasuk tarif, dasar baharu serta potensi konflik perdagangan.

“Sama seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang kerap menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka akibat faktor geopolitik dan geoekonomi, kita juga akan melakukan perkara yang sama.

“Sasaran saya untuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) adalah sekurang-kurangnya 5.0 peratus pertumbuhan.

“Namun, dengan cabaran serta andaian yang dibuat, kami menjangkakan pertumbuhan sejajar dengan pertumbuhan KDNK,” katanya pada sidang media mengenai laporan prestasi MITI 2024 dan hala tuju 2025 di sini, semalam.

Kementerian Kewangan telah mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

Tengku Zafrul berkata, secara objektif, beliau mengakui dalam membuat unjuran perlu bersikap fleksibel dan bersedia untuk melakukan semakan semula.

“Jadi, apa yang saya nyatakan hari ini adalah sasaran semasa.

“Namun, jika terdapat tarif, langkah baharu yang dikenakan oleh negara lain atau perang perdagangan, ia pasti akan memberi kesan. Kita tidak boleh menafikan perkara itu,” katanya.

Pada 2024, jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia meningkat 9.2 peratus kepada rekod tertinggi RM2.879 trilion, melepasi paras RM2 trilion untuk tahun keempat berturut-turut.

Eksport melebihi RM1 trilion buat tahun keempat berturut-turut, meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport yang ditetapkan bagi 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Sementara itu, import meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion, melepasi RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, masih terlalu awal untuk menentukan kesan sebenar tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap ekonomi ASEAN.

“Dasar itu akan membawa kesan positif dan negatif kepada ASEAN. Dari sudut positif, kecenderungan pentadbiran AS terhadap dasar perlindungan mungkin mendorong pelabur mencari pasaran yang lebih stabil dan neutral seperti ASEAN.

“Strategi seperti reshoring, pemisahan, dan pengurangan risiko juga boleh memberi manfaat kepada ASEAN dengan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta mengukuhkan kedudukan rantau ini dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa langkah itu boleh mengganggu rantaian bekalan dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi ASEAN.

“Kekurangan barangan atau komoditi tertentu boleh mencetuskan inflasi, sementara kemungkinan lambakan produk akibat perubahan aliran eksport boleh menjejaskan ekonomi tempatan.

“Malaysia akan terus memantau dan memerhati perkembangan isu ini dengan teliti. ASEAN mesti kekal neutral, proaktif, dan fleksibel dalam menangani cabaran ini bagi memastikan kestabilan ekonomi serantau,” ujarnyanya.

Pada 18 Februari lalu, Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas kenderaan serta duti yang serupa terhadap import semikonduktor dan farmaseutikal. – UTUSAN

Related Articles

Barisan pengurusan turut terlibat penyusunan semula Petronas
Ekonomi

Barisan pengurusan turut terlibat penyusunan semula Petronas

Tengku Muhammad Taufik (tengah) menunjukkan laporan Keputusan Kewangan Kumpulan Petronas pada sidang...

Ekonomi

Malaysia perkukuh peranan ASEAN dalam kewangan mampan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / Foto BernamaKUALA LUMPUR, 25...

Ekonomi

Sime Darby perkukuh perkhidmatan selepas jualan, hadapi saingan pasaran

Sime Darby Berhad komited meningkatkan perkhidmatan selepas jualan serta memperkukuh kecekapan operasi...

Ekonomi

Ekonomi Malaysia kukuh, Indeks Pelopor naik 3.1 peratus

Ekonomi Malaysia terus mencatat perkembangan positif dengan Indeks Pelopor (IP) meningkat 3.1...