KUALA LUMPUR, 23 Disember- Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bangkit daripada penyusutan dialami pada Jumaat lepas apabila mengakhiri dagangan lebih tinggi pada hari ini, didorong oleh minat belian baharu bagi saham-saham perbankan dan seiring prestasi pasaran serantau yang positif, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks penanda aras itu menokok 4.79 mata atau 0.3 peratus kepada 1,596.20 berbanding 1,591.41 pada Jumaat lepas.
Sewaktu dibuka, indeks itu meraih 2.69 mata kepada 1,594.10 dan bergerak dalam lingkungan paras intra harian terendah 1,592.57 dan intra harian tertinggi 1,601.90 ketika sesi pagi, sebelum meneruskan dagangan dengan lebih stabil pada tengah hari.
Bagaimanapun pasaran meluas kekal negatif dalam tempoh-tempoh akhir dagangan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 545 berbanding 390 manakala 565 kaunter tidak berubah, 933 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.37 bilion unit bernilai RM2.04 bilion daripada 3.38 bilion unit bernilai RM3.76 bilion pada Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama meningkat hari ini, dipacu oleh angka inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah daripada jangkaan awal.
Keadaan itu hanya menyemarakkan lagi keyakinan terhadap potensi pengurangan kadar faedah bagi 2025.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik prestasi positif hari ini, indeks penanda aras tempatan terus diasak rintangan ketara, dikekang oleh aktiviti jualan asing yang berterusan serta jualan sesi petang yang hanya membataskan kenaikan.
\”Indeks penanda aras berkemungkinan mengukuh pada paras semasa untuk sementara waktu ini dan memerlukan pemangkin baharu untuk naik.
“Sebarang pergerakan berterusan di atas paras 1,620 sememangnya diperlukan untuk mendapatkan semula trajektori kenaikan harga,\” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Thong juga menjangkakan aktiviti perdagangan lebih perlahan dalam tempoh dua minggu akan datang susulan tempoh cuti Krismas dan Tahun Baharu.
Berikutan itu, katanya, FBM KLCI dijangka berada dalam julat 1,590-1,610 pada minggu ini dengan sokongan segera pada 1,585 manakala rintangan pada 1,620.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank meraih 12 sen kepada RM10.08, Public Bank dan Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM4.52 dan RM14, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.95 dan RM7.03.
Bagi saham aktif, Winstar Capital naik 10 sen kepada 60.5 sen, Top Glove menokok satu sen kepada RM1.33, YTL Corp dan Velesto Energy masing-masing tidak berubah pada RM2.58 dan 15 sen, Aneka Jaringan susut 1.0 sen kepada 16 sen, Key Alliance pula susut setengah sen kepada setengah sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah turun 8.69 mata kepada 12,213.12 manakala Indeks FBMT 100 mengukuh 26.11 mata kepada 11,934.71, Indeks FBM Emas meningkat 26.04 mata kepada 12,248.98.
Indeks FBM 70 naik 4.22 mata kepada 18,381.69 namun Indeks FBM ACE berkurangan 21.38 mata kepada 5,247.27.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 154.94 mata kepada 18,858.29 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.03 mata kepada 170.29.
Selain itu, Indeks Perladangan turun 9.4 mata kepada 7,487.81 manakala Indeks Tenaga berkurangan 0.89 mata kepada 803.22.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.18 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 1.75 bilion unit bernilai RM3.56 bilion pada Jumaat.
Perolehan waran menguncup kepada 722.88 juta saham bernilai RM72.14 juta berbanding 922.88 juta saham bernilai RM89.47 juta pada minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 464.10 juta unit bernilai RM145.75 juta berbanding 720.12 juta unit bernilai RM114.69 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 163.89 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (226.19 juta), pembinaan (107.93 juta), teknologi (201.24 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (60.71 juta), hartanah (120.53 juta), perladangan (30.43 juta), REIT (10.21 juta), dana tertutup (33,000), tenaga (74.89 juta), penjagaan kesihatan (94.17 juta), telekomunikasi dan media (12.29 juta), pengangkutan dan logistik (22.96 juta), utiliti (58.41 juta) dan amanah perniagaan (64,800).- Livevartha