Wednesday , 23 April 2025
Home Ekonomi Median upah sektor formal meningkat 5.6% kepada RM2,745
Ekonomi

Median upah sektor formal meningkat 5.6% kepada RM2,745

Median upah sektor formal meningkat 5.6% kepada RM2,745

MEDIAUN upah pekerja formal meningkat 5.6 peratus. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Median upah sektor formal meningkat 5.6 peratus, mencatatkan RM2,745 pada September 2024, sekali gus mencerminkan landskap pasaran buruh yang lebih baik pada suku tahun ketiga 2024, selari dengan prestasi ekonomi negara yang kukuh.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan pekerja formal warganegara mencapai 6.82 juta orang pada September 2024, meningkat 2.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Dari segi pekerja formal mengikut jantina, pekerja formal lelaki warganegara menyumbang 55.2 peratus (3.76 juta orang) daripada keseluruhan pekerja formal pada September 2024, menerima median upah bulanan sebanyak RM2,782.

“Selain itu, pekerja formal perempuan yang merangkumi 44.8 peratus (3.05 juta orang) daripada keseluruhan pekerja formal, menerima median upah bulanan sebanyak RM2,700 pada tempoh yang sama.

“Median upah bulanan bagi kedua-dua pekerja lelaki dan perempuan menunjukkan trend peningkatan masing-masing sebanyak 5.2 peratus dan 7.2 peratus, berbanding September 2023,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir berkata, meneliti statistik median upah bulanan mengikut kumpulan umur menunjukkan kumpulan umur 45 hingga 49 tahun secara konsisten mencatatkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku tahun ketiga 2024 (September 2024: RM3,627; Ogos 2024: RM3,627; Julai 2024: RM3,627).

Menurutnya, kumpulan umur ini merekodkan median upah bulanan tertinggi bagi 22 bulan berturut-turut sejak Disember 2022.

“Semua kumpulan umur merekodkan pertumbuhan positif bagi median upah bulanan pada September 2024. Walau bagaimanapun, pekerja formal yang berumur di bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah iaitu RM1,500, kekal tidak berubah sejak Jun 2022.

“Melihat perbandingan tahun ke tahun, kumpulan umur 65 tahun dan ke atas menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi pada September 2024 yang meningkat sebanyak 9.0 peratus kepada RM2,725,” ujarnya.

Beliau berkata, semua sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif bagi median upah bulanan pada September 2024, berbanding tahun sebelumnya.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian terus merekodkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM5,900, dengan peningkatan 13.5 peratus berbanding September 2023 walaupun hanya menyumbang 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal.

“Pada masa yang sama, sektor pertanian mencatatkan median upah bulanan terendah sebanyak RM2,027, menunjukkan peningkatan 2.3 peratus tahun ke tahun pada September 2024, dengan sumbangan 1.9 peratus daripada keseluruhan pekerja formal,” jelasnya. – UTUSAN

Related Articles

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini
Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini

PERTUMBUHAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berisiko lebih rendah tahun ini....

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ
Ekonomi

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) komited dalam kemudahan pembiayaan sebanyak...

Ekonomi

Emas ditutup tinggi susulan ketidaktentuan politik, ekonomi global

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin...

Ekonomi

PEOPLElogy Bhd sedia tersenarai di Bursa Malaysia 20 Mei ini

PEOPLElogy Bhd mengesahkan komitmennya untuk meneruskan rancangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa...