KUALA LUMPUR: Industri takaful Malaysia secara kolektif membayar manfaat tuntutan perlindungan berjumlah RM10.2 bilion kepada pemegang sijil sepanjang tahun lalu, mencatatkan peningkatan sebanyak 16.73 peratus berbanding 2023.
Pengerusi Interim Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Wan Saifulriz Wan Ismail berkata, Takaful Keluarga menyumbang hampir tiga perempat daripada jumlah manfaat yang dibayar, iaitu RM7.89 bilion atau 77.37 peratus, manakala Takaful Am menyalurkan RM2.31 bilion.
Ujarnya, peningkatan bayaran itu didorong oleh pertambahan bilangan sijil berkuat kuasa Takaful Keluarga, yang meningkat kepada 6.69 juta pada 2024 berbanding 6.60 juta pada 2023.
“Mandat MTA adalah menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan memberi impak lebih besar melalui perantaraan berasaskan nilai.
“MTA akan terus memacu pertumbuhan industri melalui kerjasama, peningkatan kesedaran, dan inovasi produk serta perkhidmatan,“ katanya pada Sesi Taklimat Media Mengenai Prestasi Industri Takaful 2024 di sini, semalam.
Dalam pada itu, segmen Takaful Am juga menunjukkan prestasi positif, dengan sumbangan kasar meningkat 8.46 peratus kepada RM5.91 bilion berbanding RM5.45 bilion pada 2023.
Takaful Kenderaan masih menjadi penyumbang terbesar dalam segmen ini merangkumi 68.77 peratus daripada sumbangan kasar.
Mengulas lanjut, Wan Saifulriz turut menekankan kepentingan perlindungan untuk aset kediaman, termasuk rumah dan kandungannya, susulan insiden kebakaran yang semakin meningkat.
“Berdasarkan Penyata Kewangan Interim yang Belum Diaudit untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024, industri takaful telah menyalurkan zakat berjumlah RM31.19 juta, melebihi 60 peratus daripada jumlah zakat keseluruhan berjumlah RM50.83 juta pada 2023.
“Sumbangan ini akan disalurkan kepada inisiatif yang selaras dengan prinsip-prinsip syariah, bukan sahaja untuk memenuhi peraturan, tetapi bagi mencapai tujuan syariah yang merangkumi kesejahteraan rakyat melalui pencapaian matlamat etika dan sosial yang lebih luas.
“Selain itu, Takaful Kebakaran mencatatkan sumbangan kasar sebanyak RM1 bilion, naik 7.27 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Takaful kemalangan peribadi pula mencatat pertumbuhan 6.56 peratus dengan sumbangan RM388 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, purata bayaran manfaat takaful pada 2022 hingga 2024 meningkat empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah itu adalah sebanyak RM1.54 bilion berbanding purata tahunan sebanyak RM393.34 juta pada 2019 hingga 2021,” katanya.
Mengulas mengenai maklum balas industri terhadap insiden kebakaran di Putra Heights, MTA berkata, bantuan di lapangan telah digerakkan pada hari yang sama, termasuk penubuhan kaunter perkhidmatan bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Anggaran awal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) meletakkan nilai kerugian sekitar RM65 juta.
“Memandangkan demografi kawasan tersebut, ramai individu yang terjejas berkemungkinan merupakan peserta takaful. Proses tuntutan sedang dijalankan dan industri komited untuk mempercepat serta mempermudah proses tuntutan bagi mereka yang terlibat,” katanya. – UTUSAN