Home Ekonomi Malaysia sokong komitmen Indonesia teruskan mandat biodiesel B40
Ekonomi

Malaysia sokong komitmen Indonesia teruskan mandat biodiesel B40

Malaysia sokong komitmen Indonesia teruskan mandat biodiesel B40

JOHARI Abdul Ghani (tengah) menyaksikan Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa (dua dari kanan) dan Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha (dua dari kiri) menandatangani Memorandum Kolaborasi antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan FGV Holdings Berhad (FGVHB) di Wisma FGV. – UTUSAN/SADDAM YUSOF

KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong komitmen kerajaan Indonesia untuk meneruskan mandat biodiesel B40 pada 2025, walaupun telah mengumumkan penangguhan baru-baru ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu telah memberikan sokongan besar kepada industri minyak sawit, memandangkan penggunaan domestik bagi biodiesel mengurangkan tekanan ke atas pasaran global.

“Indonesia menghasilkan sekitar 48 juta metrik tan minyak sawit setiap tahun, dan hampir 25 peratus daripada jumlah itu digunakan untuk pengeluaran biodiesel.

“Malaysia sepatutnya berterima kasih kepada Indonesia atas sumbangan besar mereka kepada pasaran minyak sawit global,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Berhad dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau juga menekankan kesan positif keputusan Indonesia terhadap harga minyak sawit dunia.

“Kita cuba bayangkan jika mereka tidak menggunakan biodiesel, maka 25 peratus itu perlu pergi ke pasaran dunia. Oleh itu, akan ada tekanan terhadap harga.

“Indonesia kini berada di tahap penggunaan biodiesel B40, jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang masih pada tahap B10,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Indonesia masih belum melaksanakan campuran wajib biodiesel yang lebih tinggi yang dirancang untuk 1 Januari kerana para peserta industri sedang menunggu butiran teknikal peraturan baharu tersebut, menyebabkan kekeliruan di kalangan pedagang minyak sawit.

Kerajaan Indonesia telah berjanji untuk mewajibkan campuran 40 peratus bahan api berasaskan minyak sawit dalam biodiesel mulai 1 Januari, yang dikenali sebagai B40, berbanding campuran 35 peratus yang sedang berkuat kuasa.

Mengulas mengenai MoC, beliau berkata, kerjasama antara MPOB dan FGV bertujuan mendorong transformasi dalam memperkasakan pekebun kecil, yang kejayaannya adalah asas kepada pertumbuhan dan kestabilan industri.

“Ini bagi memastikan pematuhan penuh kepada standard kelestarian, seterusnya menjamin masa depan pengeluaran minyak sawit yang lebih hijau dan bertanggungjawab serta merevolusikan industri minyak sawit melalui penggunaan teknologi canggih yang akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Malaysia untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk minyak sawit lestari, yang didorong oleh peraturan seperti Undang-Undang Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDL).

“Malaysia kini mengeksport 15 juta metrik tan minyak sawit setiap tahun, dengan 1.5 juta hektar ladang diuruskan oleh pekebun kecil. Peningkatan pengesanan rantaian bekalan adalah kritikal untuk memastikan akses pasaran berterusan dan harga premium bagi minyak sawit Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Agrobank sumbang zakat RM180,000 kepada lebih 12 pertubuhan kebajikan

Agrobank menyumbangkan zakat berjumlah RM180,000 kepada lebih 12 pertubuhan kebajikan di lapan...

Ekonomi

Suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy langkah wajar – Penganalisis

Keputusan kerajaan untuk menyuntik RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Berhad disifatkan...

Ekonomi

Ringgit dijangka bertahan berbanding dolar AS minggu hadapan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 16 Mac– Ringgit dijangka kekal bertahan dalam julat 4.43...

Ekonomi

Ketidaktentuan global: Malaysia perlu teroka rakan dagang baharu – Pakar

FOTO ARKIB RTMKUALA LUMPUR, 15 Mac- Malaysia perlu meneroka peluang dengan negara...