Home Ekonomi Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan
Ekonomi

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan

FADILLAH Yusof semasa ucaptama di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam. – UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI

SERDANG: Malaysia masih menunjukkan tahap kebergantungan tinggi terhadap import makanan meskipun nilai eksport agromakanan negara mencatatkan angka yang memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada tahun lalu, nilai eksport produk agromakanan negara mencecah RM105.6 bilion, manakala nilai import pula berjumlah RM79.1 bilion.

Menurutnya, keadaan ini menimbulkan cabaran besar kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Laporan Akaun Pembekalan dan Penggunaan 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kita masih terlalu bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan makanan negara.

“Antara kadar kebergantungan import tertinggi bagi kategori tanaman ialah bawang besar, bawang kecil dan bawang putih, masing-masing mencatatkan 100 peratus.

“Untuk kategori ternakan pula, kebergantungan tertinggi adalah bagi daging kambing dan bebiri (89.6 peratus), daging lembu dan kerbau (84.0 peratus), susu (56.6 peratus) dan sotong (77.8 peratus),” katanya dalam ucapan peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sektor pertanian juga masih bergantung kepada tenaga kerja asing bagi memastikan kelangsungan operasinya.

“Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2023 merekodkan seramai 1.4 juta orang bekerja dalam sektor pertanian daripada jumlah keseluruhan 15.8 juta tenaga kerja di negara ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 474,000 orang merupakan pekerja bukan warganegara. Situasi ini menunjukkan sektor pertanian masih menghadapi isu struktur yang memerlukan perhatian dan penyelesaian jangka panjang.

Sementara itu, beliau berkata, sektor pertanian negara didominasi oleh golongan berusia dengan hampir 45 peratus pengusaha pertanian individu berumur 60 tahun ke atas.

Ujarnya, trend taburan umur dalam kalangan pengusaha pertanian menunjukkan keperluan mendesak untuk meremajakan sektor ini demi memastikan kelangsungannya.

“Daripada 1.03 juta pengusaha pertanian direkodkan pada 2023, seramai satu juta adalah pengusaha pertanian individu, manakala selebihnya (21,191) merupakan pertubuhan.

“Sebanyak 458,395 orang atau 45.4 peratus daripada pengusaha individu berusia 60 tahun dan ke atas, manakala 32.3 peratus atau 326,287 orang berada dalam lingkungan umur 46 hingga 59 tahun.

“Hanya 22.2 peratus atau 224,147 pengusaha adalah dari kalangan generasi muda berusia antara 15 hingga 45 tahun,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Malaysia mendahului IPO di ASEAN
Ekonomi

Malaysia mendahului IPO di ASEAN

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kanan) dan Fad’l Mohamed...

Synvista labur AS juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor
Ekonomi

Synvista labur AS$50 juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor

PETER Phang ketika ditemui pemberita selepas SynVista Energy Storage Full Lifecycle Summit...

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j
Ekonomi

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j

SHAHARRUDY Othman (tengah) ketika merasmikan Pelancaran Pelaksanaan e-Invois bagi Pembayar Cukai Fasa...

PKNPk, PoABI mengulangi komitmen terhadap inisiatif LuMIC 
Ekonomi

PKNPk, PoABI mengulangi komitmen terhadap inisiatif LuMIC 

REDZA Rafiq Abdul Razak (kiri) bersama PHILIPPE Marcel H. Droesbeke (dua dari...