Thursday , 12 December 2024
Home Ekonomi Malaysia lulus pelaburan RM254.7b dalam sembilan bulan pertama
Ekonomi

Malaysia lulus pelaburan RM254.7b dalam sembilan bulan pertama

Malaysia lulus pelaburan RM254.7b dalam sembilan bulan pertama

PETALING JAYA: Malaysia telah meluluskan jumlah pelaburan sebanyak RM254.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, mencatatkan peningkatan stabil sebanyak 10.7 peratus berbanding RM230.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Agensi tersebut menyatakan, prestasi yang kukuh ini mencerminkan momentum ekonomi Malaysia yang berterusan, didorong oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, dan sektor utama.

“Sektor perkhidmatan mendahului dengan RM160.7 bilion, diikuti sektor pembuatan (RM88.8 bilion) dan sektor utama (RM5.2 bilion).

“Sebanyak 4,753 projek baharu telah diluluskan dalam tempoh ini, yang dijangka mencipta 159,347 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia. Prestasi kukuh ini mengukuhkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur, meskipun terdapat ancaman ketidaktentuan global,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MIDA, pertumbuhan penciptaan pekerjaan melonjak 75.9 peratus, manakala kelulusan projek meningkat 20.7 peratus secara tahunan.

Ia juga menyatakan bahawa pelaburan domestik (DI) menyumbang 58.1 peratus (RM148 bilion) daripada jumlah kelulusan, manakala pelaburan asing (FI) menyumbang 41.9 peratus (RM106.7 bilion).

“Negeri yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi ialah Selangor (RM66.8 bilion), Kuala Lumpur (RM63.9 bilion), Kedah (RM34 bilion), Pulau Pinang (RM22.6 bilion), dan Johor (RM18.1 bilion).

“Lima negara utama sumber pelaburan asing adalah Jerman (RM30.9 bilion), China (RM10.8 bilion), Amerika Syarikat (RM8.4 bilion), Belanda (RM4.9 bilion), dan Singapura (RM4.4 bilion).

“Sektor Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menyumbang RM119.9 bilion, iaitu 47.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan merentas pelbagai sektor ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan ini mencerminkan keyakinan kukuh para pelabur terhadap dasar dan hala tuju ekonomi negara.

“Peningkatan pelaburan dan penciptaan pekerjaan menunjukkan keberkesanan kerangka strategik domestik serta usaha bersepadu untuk menarik pelaburan berimpak tinggi bagi pertumbuhan mampan.

“Jelas sekali, konsistensi dan kemampuan Malaysia untuk menyesuaikan diri telah menggalakkan pelabur untuk melaksanakan komitmen jangka panjang, sambil melengkapkan kita dengan kapasiti untuk mengharungi cabaran global yang semakin berubah.”

“Ketika kita bergerak ke arah matlamat menjadi salah satu daripada 30 ekonomi terbaik dunia menjelang 2033, Kerajaan Madani komited untuk mewujudkan persekitaran di mana pelabur domestik dan antarabangsa boleh berkembang maju.

“Fokus kita bukan hanya untuk mencapai sasaran pelaburan; kita juga sedang meletakkan asas untuk ekonomi yang mampan dan inklusif yang akan memperkasakan semua rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka tinggi, meski dolar AS mengukuh

Foto FailKUALA LUMPUR, 12 Disember– Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang Amerika...

Perdagangan borong, runcit cecah RM150 bilion pada Oktober
Ekonomi

Perdagangan borong, runcit cecah RM150 bilion pada Oktober

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM145.7 bilion pada...

Ekonomi

Ringgit dibuka mendatar berbanding Dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 11 Disember– Ringgit memulakan hari ini hampir mendatar berbanding...

TH-MAB perkenal pelan tindakan bersama bencana ketika operasi haji
Ekonomi

TH-MAB perkenal pelan tindakan bersama bencana ketika operasi haji

SYED Hamadah Syed Othman (dua kiri) dan Ahmad Luqman Mohd Azmi (dua...