Home Ekonomi Malaysia berpotensi muncul antara hab reka bentuk IC di dunia
Ekonomi

Malaysia berpotensi muncul antara hab reka bentuk IC di dunia

Malaysia berpotensi muncul antara hab reka bentuk IC di dunia

KERJASAMA dengan ARM yang merupakan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) dapat memberi lonjakan permulaan kepada Malaysia dan memendekkan masa sehingga dua tahun. – AGENSI

PETALING JAYA: Kerjasama dengan ARM Holdings Limited untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip membolehkan Malaysia dikenali sebagai satu daripada hub atau pusat reka bentuk litar bersepadu (IC) di dunia.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, kerjasama itu akan mempercepatkan lagi usaha Malaysia untuk meningkat ekosistem semikonduktor tempatan daripada pemasangan ke rantaian bekalan bernilai tinggi.

Ujarnya, kerjasama dengan ARM yang merupakan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) dapat memberi lonjakan permulaan kepada Malaysia dan memendekkan masa sehingga dua tahun.

“Perkara ini boleh dilakukan kerana ARM akan membantu mendapatkan akses kepada IP berkaitan reka bentuk cip, membangunkan bakat tempatan dan membantu untuk mengeluarkan cip reka bentuk IC.

“Kerjasama ini sudah tentu akan mempercepatkan proses meningkatkan rantaian bernilai tinggi kepada reka bentuk IC di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Malaysia memeterai perjanjian bernilai AS$250 juta (RM1.12 bilion) dengan ARM untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dalam tempoh 10 tahun untuk syarikat tempatan.

Kerjasama tersebut adalah bagi mengubah sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor Malaysia, sekali gus membantu melonjakkan Malaysia sebagai negara di Asia Tenggara yang beralih daripada pemasangan cip kepada pengeluaran semikonduktor yang lebih bernilai.

Kerajaan juga bercadang untuk menggunakannya untuk membantu syarikat tempatan dalam proses reka bentuk cip mereka sendiri dan menyasarkan eksport semikonduktor sebanyak RM1.2 trilion (AS$270 bilion) menjelang 2030.

Sementara itu, Siew Hai berkata, Malaysia mempunyai aspirasi untuk mewujudkan sebanyak 10 syarikat cip melalui kerjasama tersebut.

Ujarnya, ini adalah strategi yang baik daripada kerajaan untuk dan menyambut baik kaedah insentif baharu yang akan ditawarkan kepada syarikat tempatan yang mana mereka tidak perlu membayar yuran pelesenan kepada ARM, sebaliknya akan ditanggung oleh kerajaan.

“Dari segi bakat pula, kita mempunyai bakat tapi mungkin ada yang kurang kompeten jadi mereka ini boleh dibangunkan.

“Melalui kerjasama dengan Arm, mereka akan membawa bakat dari luar untuk membantu membangunkan bakat tempatan untuk bidang reka bentuk IC ini,” ujarnya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Indeks Dolar AS susut, ringgit terus mengukuh pada sesi awal

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 12 Mac– Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat...

Ekonomi

LTAL dinobat Lapangan Terbang Terbaik Asia Pasifik

Foto Hiasan / BernamaKUBANG ROTAN, 12 Mac – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi...

Inflasi dijangka lebih tinggi pada separuh kedua 2025
Ekonomi

Inflasi dijangka lebih tinggi pada separuh kedua 2025

TRAJEKTORI inflasi 2025 akan dipengaruhi oleh penyesuaian dasar domestik dan faktor-faktor luaran.PETALING...

Program MM2H jana pelaburan tahunan hampir RM1 bilion
Ekonomi

Program MM2H jana pelaburan tahunan hampir RM1 bilion

PETALING JAYA: Program visa Malaysia My Second Home (MM2H) yang dipinda pada...