Home Ekonomi MAHB akan dinyahsenarai dari pasaran utama, hari terakhir dagangan pada 19 Februari
Ekonomi

MAHB akan dinyahsenarai dari pasaran utama, hari terakhir dagangan pada 19 Februari

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dinyahsenarai dari Pasaran Utama Bursa Malaysia kerana peratusan saham syarikat yang dimiliki oleh pelabur awam minimumnya kini kurang daripada 25 peratus.

Pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kekurangan dalam peratusan saham syarikat yang dimiliki pelabur awam berlaku sebagai akibat langsung daripada tawaran tersebut.

Katanya, kekurangan itu dijangka terus meningkat akibat penerimaan sah tambahan di bawah tawaran berkenaan sehingga ia ditutup untuk penerimaan pada 12 Feb, 2025 (5 petang).

\”Setakat 5 petang hari ini, jumlah saham MAHB yang dimiliki oleh pemberi tawaran dan pemberi tawaran bersama termasuk saham MAHB yang dipindahkan kepada pemberi tawaran tetapi masih menunggu penerimaan dokumen tawaran yang tertakluk kepada pengesahan, membentuk 95.11 peratus daripada jumlah saham terbitan MAHB,\” katanya.

Sementara itu, Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) serta pemegang sahamnya (konsortium), dalam satu kenyataan berkata pihaknya kini akan mengambil langkah perlu untuk menyahsenarai MAHB dari senarai rasmi Bursa Malaysia dan hari terakhir saham MAHB akan diniagakan secara awam adalah pada 19 Feb, 2025.

Selain itu, konsortium itu juga akan mengambil langkah perlu untuk mengambil alih secara wajib semua baki saham dalam MAHB yang tidak dimilikinya selepas tempoh akhir tawaran ditutup mengikut Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

\”Konsortium berharap dapat bekerjasama rapat dengan MAHB bagi merealisasikan potensinya menjadi pengendali lapangan terbang bertaraf dunia yang kompetitif, cekap, komersial dan bertumpukan perkhidmatan.

\”GDA mengakui MAHB memerlukan pelaburan dalam infrastrukturnya dan penambahbaikan dalam operasinya untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik selain menyokong pengembangan, yang kedua-duanya akan memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan,\” katanya.

Konsortium juga percaya perubahan MAHB adalah yang terbaik untuk dilaksanakan sebagai syarikat persendirian, disokong oleh pelabur strategik dan kewangan dengan kepakaran teknikal antarabangsa.

\”Ini akan membolehkan MAHB mengambil pendekatan jangka panjang dalam membuat keputusan, pelaburan modal dan penambahbaikan dalam rangkaian sambungan antara syarikat penerbangan serta perkhidmatan pelanggan,\” kata GDA.

Ia juga menegaskan MAHB merupakan aset strategik Malaysia dan akan kekal dimiliki majoriti oleh pelabur Malaysia melalui UEM Group Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja iaitu bersama-sama memiliki 70 peratus kepentingan dalam GDA.

Dalam kenyataan berasingan, AmInvestment Bank Bhd, bagi pihak pemberi tawaran berkata Bursa Securities akan menggantung dagangan sekuriti MAHB bermula 20 Feb, 2025 iaitu selepas tamatnya tempoh lima hari pasaran dari Tarikh Tutup Lanjutan Akhir iaitu 12 Februari.

Harga saham MAHB ditutup pada RM10.92 hari ini dengan 1.22 juta saham diniagakan.- Livevartha

Related Articles

MYTV Mana-Mana Premium kini boleh ditonton di Google TV pada RM6.90 sebulan
Ekonomi

MYTV Mana-Mana Premium kini boleh ditonton di Google TV pada RM6.90 sebulan

MOHAMMAD Helmi Harith menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran MYTV Mana Mana...

PMCK tampil 23 sen sesaham di Pasaran ACE, premium 1 sen
Ekonomi

PMCK tampil 23 sen sesaham di Pasaran ACE, premium 1 sen

PMCK membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa.KUALA LUMPUR: PMCK Berhad (PMCK),...

Paramount tawar ganjaran percutian kepada pembeli rumah
Ekonomi

Paramount tawar ganjaran percutian kepada pembeli rumah

CHEE Siew Pin (kanan) bersama Robbie Blackwood ketika gimik pelancaran Kempen Traverse...

Pro-Net, AMTEL meterai MoU urus komponen, pelupusan bateri EV secara selamat 
Ekonomi

Pro-Net, AMTEL meterai MoU urus komponen, pelupusan bateri EV secara selamat 

ZHANG Qiang (kanan) dan Lim Hun Teik bertukar dokumen perjanjian MoU antara...