Home Ekonomi LZS kutip zakat RM1.22 bilion pada 2024, tertinggi dalam sejarah
Ekonomi

LZS kutip zakat RM1.22 bilion pada 2024, tertinggi dalam sejarah

LZS kutip zakat RM1.22 bilion pada 2024, tertinggi dalam sejarah

SYED Anwar Jamalullail (kiri) bersama Mohd Khaidzir Shahari (kanan) bergambar pada sidang media Prestasi Agihan dan Kutipan Zakat Selangor bagi Tahun 2024 di Menara Zakat Sultan Idris Shah, Seksyen 14, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah penubuhan sejak 1994, mencecah RM1.22 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut LZS melepasi paras kutipan dan agihan zakat melebihi RM1 bilion, sekali gus membolehkan agensi itu menyasarkan kutipan mencecah RM1.32 bilion pada tahun ini.

Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, sejumlah RM1.19 bilion diagihkan kepada lebih 370,000 penerima zakat asnaf di seluruh Selangor tahun lalu.

“Jumlah tersebut disalurkan kepada lapan kategori asnaf, peningkatan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.15 bilion.

“Daripada jumlah ini, kategori asnaf fakir dan miskin menerima agihan tertinggi berjumlah RM707 juta, iaitu 60 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan zakat mencerminkan fokus berterusan LZS terhadap kelompok yang paling memerlukan di Selangor.

“Agihan zakat ini telah menyantuni lebih 77,800 keluarga fakir dan miskin sepanjang 2024, peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding 2023,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Kutipan dan Agihan Zakat 2024 dan Pelancaran Laporan Kelestarian LZS di sini semalam.

Syed Anwar berkata, memandangkan keadaan ekonomi dan sosial vang semakin mencabar, LZS melaksanakan pengagihan zakat mengikut kerangka yang terancang berasaskan lima program pembangunan utama iaitu pembangunan sosial, pendidikan, institusi keagamaan, pembangunan insan dan pembangunan ekonomi.

“Daripada jumlah keseluruhan agihan zakat, sebanyak RM780 juta telah disalurkan untuk pembangunan sosial termasuk bantuan kewangan bulanan, sewaan rumah, pembinaan dan baik pulih kediaman, serta rawatan perubatan kritikal dan dialisis.

“Di samping itu, LZS percaya bahawa pendidikan mampu membuka lebih banyak peluang untuk keluarga asnaf membina masa depan yang lebih baik. 

“Maka, sebanyak RM194 juta telah disalurkan di bawah Program Pembangunan Pendidikan, melibatkan peningkatan 13 peratus berbanding tahun lalu, selaras dengan pertambahan penyertaan generasi kedua asnaf ke peringkat pengajian tinggi dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, seramai 5,081 keluarga di Selangor berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil bantuan zakat sepanjang tahun lalu.

Ujarnya, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan program pembangunan menyeluruh melibatkan bantuan modal permulaan, sokongan kewangan, insentif kerjaya dan bantuan pendidikan (dermasiswa).

“Ini bukan sekadar angka, tetapi kisah tentang maruah dan keupayaan hidup berdikari kerana mereka kini menyumbang semula kepada masyarakat dan tidak lagi bergantung kepada bantuan,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China
Ekonomi

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China

PETALING JAYA: Sektor sarung tangan getah tempatan dijangka terjejas susulan pengurangan sementara...

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion
Ekonomi

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion

Orang ramai menjadikan Kompleks Sogo salah satu pusat beli belah utama untuk...

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR
Ekonomi

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Pendekatan wilayah dilihat sebagai jalan tengah yang lebih adil...

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini
Ekonomi

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat....