Home Ekonomi Labuan FSA umum empat rang undang-undang tingkat ketelusan
Ekonomi

Labuan FSA umum empat rang undang-undang tingkat ketelusan

Labuan FSA umum empat rang undang-undang tingkat ketelusan

LABUAN FSA

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengumumkan bahawa empat rang undang-undang berkaitan dengan Labuan IBFC telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

Rang undang-undang tersebut telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying untuk bacaan ketiga semalam di Dewan Negara bagi meminda Akta Syarikat Labuan 1990, Akta Amanah Labuan 1996, Akta Yayasan Labuan 2010 dan Akta Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan 2010.

Matlamat utama pindaan kepada empat akta tersebut adalah untuk meningkatkan ketelusan dan menyelaraskan dengan piawaian antarabangsa oleh Financial Action Task Force (FATF) mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) berkaitan dengan Pemilikan Benefisial (BO).

Ia juga untuk memenuhi komitmen Malaysia dalam mematuhi piawaian pematuhan cukai antarabangsa yang ditetapkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Labuan FSA berkata, pindaan ini memperkenalkan peruntukan undang-undang untuk meningkatkan ketelusan dalam pendedahan maklumat pemilik benefisial (BO) bagi entiti Labuan termasuk syarikat Labuan, syarikat Labuan asing, yayasan Labuan, amanah Labuan, perkongsian terhad Labuan dan perkongsian liabiliti terhad Labuan. 

“Peruntukan utama termasuk yang berikut iaitu mendefinisikan BO secara meluas selaras dengan cadangan FATF untuk pelbagai entiti Labuan, menubuhkan daftar BO dan menyimpan maklumat tersebut untuk sekurang-kurangnya enam tahun, entiti Labuan dikehendaki untuk memperoleh dan memegang maklumat BO yang mencukupi, tepat dan terkini.

“Selain itu, BO diwajibkan untuk mengisytiharkan status mereka kepada entiti Labuan, entiti Labuan perlu memastikan daftar yang tepat dan terkini dikekalkan, entiti Labuan dikehendaki untuk mengemukakan maklumat BO yang tepat dan terkini kepada Labuan FSA dalam tempoh yang ditetapkan serta sebarang perubahan kepada maklumat tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

Selain daripada yang di atas, Labuan FSA diberikan kuasa untuk menentukan pihak yang boleh mengakses daftar BO, mengarahkan entiti Labuan untuk menyediakan maklumat dalam tempoh yang ditetapkan dan mempunyai kuasa untuk memeriksa maklumat BO yang disimpan oleh entiti Labuan yang berkaitan.

Pindaan ini mencadangkan penghapusan peruntukan berkaitan dengan perlakuan cukai ke atas pendapatan yang diperoleh daripada harta yang dimiliki oleh amanah Labuan atau yayasan Labuan di dalam Malaysia. 

“Pindaan ini dilakukan kerana terdapat undang-undang cukai sedia ada yang dengan secukupnya menangani perkara tersebut, iaitu pendapatan yang diperoleh daripada harta di dalam Malaysia adalah tertakluk kepada cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53], pendapatan yang diperoleh daripada harta di luar Malaysia termasuk Labuan adalah tertakluk kepada cukai di bawah Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 [Akta 445],” katanya. 

Jelas Labuan FSA, pindaan terhadap Akta Amanah Labuan 1996 dan Akta Yayasan Labuan 2010 adalah penyesuaian susulan pindaan yang dibuat terhadap Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 [Akta 445] pada tahun 2018.

Sementara itu, Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, dengan melaksanakan pindaan ini lebih awal sebelum penilaian keempat FATF pada Februari 2025, ia akan meletakkan Malaysia dan Labuan IBFC dalam kedudukan untuk memperoleh penilaian yang baik. 

“Hasil positif ini akan memperkukuhkan keyakinan antarabangsa dan meningkatkan kedudukan Malaysia termasuk Labuan IBFC, sebagai hab kewangan global yang dipercayai dan berwibawa,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif
Ekonomi

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji dijangka mampu mengumumkan kadar dividen yang kompetitif...

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan
Ekonomi

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan

PROSPEK sektor hartanah terus disokong oleh statistik yang lebih baik termasuk jumlah...

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital
Ekonomi

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital

PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank) mengumumkan pelancaran Pembiayaan Peribadi-i...

Ekonomi

Ketakutan ketinggalan punca belia berbelanja berlebihan

Sikap ingin memiliki sesuatu dengan segera dan takut ketinggalan menjadi faktor utama...