Sunday , 22 December 2024
Home Ekonomi KWSP naikkan penanda aras simpanan asas kepada RM390,000
Ekonomi

KWSP naikkan penanda aras simpanan asas kepada RM390,000

KWSP naikkan penanda aras simpanan asas kepada RM390,000

KWSP memperkenalkan tiga tahap simpanan persaraan iaitu simpanan asas, simpanan mencukupi dan simpanan dipertingkat. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyemak semula penanda aras simpanan asas untuk menampung keperluan persaraan yang penting kepada RM390,000, berbanding RM240,000 sebelumnya.

Bagi melaksanakan peralihan secara berfasa, jumlah simpanan asas akan dinaikkan secara berperingkat sebanyak RM50,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun.

Ini bermakna, simpanan asas adalah berjumlah RM290,000 menjelang 1 Januari 2026, RM340,000 (1 Januari 2027) dan RM390,000 (1 Januari 2028).

Menurut KWSP, setakat Oktober 2024, sekitar 36 peratus ahli KWSP yang aktif formal melepasi tahap simpanan asas sedia mengikut umur, disandarkan pada RM240,000 di umur 55.

“Walaupun peratusan ini mungkin menerima kesan daripada penanda aras baharu ini dalam jangka sederhana, pelarasan ini penting untuk meletakkan simpanan ahli seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan umur persaraan semasa di Malaysia,” demikian menurut kenyataan.

Simpanan asas merupakan salah satu kerangka simpanan tiga tahap menerusi panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup serta aspirasi persaraan berbeza.

KWSP berkata, RIA yang bakal dilancarkan pada Januari 2026 memperkenalkan dua lagi tahap kerangka simpanan iaitu simpanan mencukupi untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan dan simpanan dipertingkat untuk menyokong keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi untuk kualiti hidup yang lebih baik.

Jelasnya, Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu itu akan disandarkan kepada Pendapatan Persaraan Mencukupi seperti ditentukan dalam Belanjawanku dari masa ke masa dan menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar purata jangka hayat di Malaysia.

“Berdasarkan Belanjawanku 2024/2025, seorang warga emas tiada pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan (Pendapatan Persaraan Mencukupi) untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.

“Justeru, sebagai gambaran, tahap simpanan yang berbeza akan diterjemahkan seperti berikut pada umur persaraan.

“Simpanan asas (RM390,000) akan menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20 manakala simpanan mencukupi (RM650,000) membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.

“Sementara itu, simpanan dipertingkat (RM1.3 juta) pula menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20 untuk persaraan yang lebih selesa,” katanya.

Tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelancaran panduan Belanjawanku 2024/2025 dan RIA adalah asas kepada tujuan KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya, panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi.

“Dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan yang baharu, kami berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen utuh KWSP untuk menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan pada objektif di samping memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan yang sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham
Ekonomi

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan...

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...