Wednesday , 23 April 2025
Home Ekonomi KHPT Holdings tampil di Pasaran ACE pada 29 sen
Ekonomi

KHPT Holdings tampil di Pasaran ACE pada 29 sen

KHPT Holdings tampil di Pasaran ACE pada 29 sen

NORIPAH Kamso (empat dari kiri) dan Eloise See (lima dari kanan), melakukan gimik mengetuk gong sempena Majlis Penyenaraian KHPT Holdings di Pasaran Ace di Bursa Malaysia, semalam.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR: KHPT Holdings Berhad (KHPT) tampil di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada harga 29 sen yang mewakili sembilan sen atau 45 peratus premium daripada harga terbitan 20 sen sesaham, dengan jumlah pembukaan sebanyak 15.02 juta saham.

Syarikat berjaya mengumpul sejumlah RM21.73 juta melalui terbitan awam permulaan (IPO) sebanyak 108.64 juta saham biasa baharu pada harga 20 sen sesaham. 

Daripada hasil kasar itu, lebih daripada 75 peratus akan digunakan untuk perbelanjaan modal, iaitu 50.8 peratus atau RM11.05 juta untuk pembelian mesin cetak, manakala 20.7 peratus atau RM4.5 juta untuk pembelian peralatan automasi. 

Selain itu, 2.1 peratus atau RM0.45 juta akan digunakan untuk pengubahsuaian Kilang Telok Panglima Garang dan 1.7 peratus atau RM0.37 juta akan untuk pembelian kren atas kepala.

Bagi baki hasil pula sebanyak RM0.7 juta dan RM4.66 juta akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

Saham tersenarai syarikat ini diklasifikasikan sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KHPT, Datuk Noripah Kamso berkata, penyenaraian itu menandakan pencapaian penting dalam perniagaan KHPT, meletakkan syarikat untuk pertumbuhan selanjutnya dalam industri automotif. 

“Langganan berlebihan terhadap IPO kami mencerminkan keyakinan pelabur yang tinggi terhadap rekod prestasi kami dan prospek pertumbuhan. 

“Dengan modal pasaran sebanyak RM80.48 juta, kami berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan hubungan yang telah lama terjalin dengan Proton dan Perodua, merupakan jenama yang mendominasi pasaran tempatan. 

“Keupayaan kami dalam menyediakan komponen automotif yang disesuaikan dan berkualiti tinggi telah menjadikan kami rakan kongsi yang dipercayai dalam pengeluaran 14 model Proton dan 13 model Perodua, sama ada yang lalu atau semasa,” katanya katanya semasa majlis penyenaraian tersebut di Bursa Malaysia, semalam. 

Jelas beliau, dalam peralihan industri kepada kenderaan elektrik dan teknologi hijau, keupayaan kejuruteraan dalaman dan kepakaran jangka panjang KHPT akan membolehkannya bukan sahaja menyesuaikan diri, malah memimpin dalam menyediakan penyelesaian inovatif.

“Penyenaraian hari ini menandakan permulaan kepada pengembangan secara beransur-ansur, baik di Malaysia mahupun berpotensi ke pasaran antarabangsa, dengan membina asas untuk nilai jangka panjang kepada pelanggan, pelabur, dan pemegang saham kami,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan KHPT, Datin Eloise See berkata, syarikat itu mengharapkan lebih banyak pengeluar kereta asing menubuhkan kilang di Malaysia.

“Apabila peluang muncul, kami menantikan untuk membentuk kerjasama dengan syarikat-syarikat ini. Itulah maksud saya mengenai meneroka kemungkinan untuk memasuki pasaran antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini
Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini

PERTUMBUHAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berisiko lebih rendah tahun ini....

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ
Ekonomi

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) komited dalam kemudahan pembiayaan sebanyak...

Ekonomi

Emas ditutup tinggi susulan ketidaktentuan politik, ekonomi global

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin...

Ekonomi

PEOPLElogy Bhd sedia tersenarai di Bursa Malaysia 20 Mei ini

PEOPLElogy Bhd mengesahkan komitmennya untuk meneruskan rancangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa...