KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menghantar Ketua Perunding (CN) untuk berjumpa wakil CN Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan isu tarif dengan lebih terperinci dan langkah seterusnya dalam masa terdekat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, salah seorang penjawat awam kanan yang berpengalaman daripada MITI akan dilantik sebagai CN manakala di pihak AS pula, seorang penolong Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bakal mengetuai rundingan berkenaan.
Katanya, beliau akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkembangan hasil lawatannya ke AS minggu lalu dalam mesyuarat Pusat Pemerintahan Geoekonomi Negara (NGCC) esok (hari ini), yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Setakat ini saya boleh kongsikan bahawa mesyuarat pada minggu lalu di AS berjalan dengan baik dan lancar. Seterusnya, pihak kerajaan bersama NGCC akan mengadakan perbincangan susulan dan akan membentangkan maklumat kepada Jemaah Menteri sebelum rundingan diteruskan secara rasmi dengan pentadbiran AS.
“Dalam rundingan ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa pendekatan terbaik adalah melalui perbincangan, bukan dengan mengenakan tarif balas terhadap AS.
“Kami juga mencapai persetujuan untuk menghantar Ketua Perunding Malaysia bagi mengadakan pertemuan dengan CN AS dan rundingan akan dimulakan dalam masa terdekat, sebaik sahaja perjanjian kerahsiaan (NDA) ditandatangani,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MITI dan Agensi di Menara MITI, di sini, semalam.
Pada 24 April lalu, Tengku Zafrul telah mengetuai delegasi untuk bertemu dan berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer, di Washington DC bagi membincangkan mengenai tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia.
Dalam pertemuan itu, Malaysia secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk berunding dalam empat aspek kritikal, yang diyakini dapat mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan bagi kedua-dua negara.
Empat bidang utama itu ialah membantu mengurangkan defisit perdagangan; menangani halangan bukan tarif; mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi dan meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, kedua-dua pihak mengiktiraf bahawa Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor-sektor strategik seperti semikonduktor.
“Kita saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak bersaing secara langsung. Akhir sekali, berhubung isu-isu berkaitan ekonomi dan keselamatan, kedua-dua negara bersetuju bahawa perlindungan hak harta intelek (IP) serta keselamatan teknologi perlu sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Ditanya mengenai konsesi yang dicapai dalam rundingan itu Tengku Zafrul berkata, pihaknya masih belum membincangkan perkara itu secara terperinci, sebaliknya berunding berdasarkan parameter umum.
“Perkara asasnya ialah sama ada mereka bersedia untuk bekerjasama dengan kita dan berita baiknya, mereka bersedia.
“Dalam mesyuarat bersama USTR dan Setiausaha Perdagangan AS, kedua-dua pihak bersetuju bahawa rundingan wajar diteruskan berdasarkan parameter ini iaitu tarif.
“Matlamat utama kita ialah untuk mengurangkan tarif. Walaupun mustahil untuk menurunkannya kepada sifar, kita berhasrat mencari penyelesaian menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut membincangkan isu halangan bukan tarif, khususnya dalam sektor pertanian yang mana kita bersetuju untuk meneliti langkah-langkah yang adil bagi mengurangkannya.
“Isu ketidakseimbangan dagangan turut disentuh memandangkan kita mempunyai lebihan dagangan sekitar AS$25 bilion berdasarkan angka mereka.
“Berita baiknya ialah jumlah ini telah berkurang hampir separuh sejak empat tahun lalu daripada AS$40 bilion dan kita berada di laluan yang betul. Hasratnya adalah untuk terus mengurangkannya, tetapi secara berperingkat.
“Yang terakhir, kami juga menyuarakan kebimbangan bahawa teknologi yang dibangunkan atau dikilang di sini mungkin jatuh ke tangan pihak yang tidak melalui saluran AS. Salah satu cadangan yang dikemukakan ialah perjanjian perlindungan teknologi, namun kami sedar bahawa perinciannya amat penting,” katanya. – UTUSAN