Tuesday , 24 December 2024
Home Ekonomi KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga
Ekonomi

KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga

KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin (kiri) dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (kanan) ketika sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024 di Sasana Kijang, semalam.

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd.Uzir Mahidin berkata, aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan (M&E), manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar.

“Dalam sektor luaran, eksport terus mengukuh berikutan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.

“Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan.

“Dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan. Khususnya, peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport. Walau
bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyelenggaraan dalam sektor perlombongan,” katanya dalam sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024 di sini semalam.

Menurut beliau, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8 peratus berbanding suku kedua 2024, 2.9 peratus, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus bagi tiga suku pertama tahun 2024.

Jelas Mohd. Uzir, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus sama seperti pada suku kedua 2024.

“Inflasi yang lebih tinggi dicatatkan untuk diesel kepada 20.1 peratus berbanding suku kedua pada 5.3 peratus, manakala insurans kenderaan pula sebanyak 0.8 peratus berbanding -0.1 peratus pada suku kedua.

“Ini diimbangi dengan pengurangan inflasi bagi makanan dan minuman kepada 1.6 peratus berbanding 1.9 peratus pada suku kedua, khususnya makanan di luar rumah, bijirin dan sayur-sayuran segar.

“Secara keseluruhan, bilangan item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 38.9 peratus pada suku ketiga tahun 2024 berbanding suku kedua 2024, 49.4 peratus” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir memaklumkan, pertumbuhan kredit untuk perniagaan menjadi sederhana, manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pertumbuhan kredit kepada sektor bukan kewangan swasta menjadi sederhana kepada 4.8 peratus, berbanding suku kedua 2024, 5.5 peratus, berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman perniagaan terkumpul dan bon korporat.

“Pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan disebabkan oleh syarikat bukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), manakala pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan.

“Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman kepada sektor perkhidmatan kekal stabil, manakala pertumbuhan pinjaman untuk sektor perkilangan dan pembinaan menjadi sederhana.

“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil, didorong oleh pinjaman pembelian perumahan dan kereta. Pertumbuhan permohonan pinjaman isi rumah terus menggalakkan dengan kadar kelulusan yang mampan,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dengan prestasi yang akan datang, pertumbuhan setakat tahun ini adalah kukuh pada 5.2 peratus, berada dalam julat unjuran antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

‘Pada 2025, kami menjangkakan pertumbuhan akan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

“Perbelanjaan isi rumah akan kekal sebagai tunggak pertumbuhan, didorong oleh peningkatan dalam pekerjaan dan pendapatan, serta sokongan dasar yang berterusan.

“Selain itu, aktiviti pelaburan akan terus menyokong pertumbuhan di tengah-tengah kemajuan berterusan dalam projek-projek jangka panjang, realisasi pelaburan yang diluluskan tinggi dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan. Di peringkat luar, peningkatan eksport dan perbelanjaan pelancong juga akan terus menyokong pertumbuhan,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS pagi ini

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 24 Disember– Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding Dolar AS...

Pines Avenue dan Baris Place 2 capai jualan 100 peratus
Ekonomi

Pines Avenue dan Baris Place 2 capai jualan 100 peratus

BARIS Place 2 di Setia Mayuri terdiri daripada 16 unit lot kedai...

VentureTECH, MTC Orec umum kerjasama percepat pembangunan loji biometan 
Ekonomi

VentureTECH, MTC Orec umum kerjasama percepat pembangunan loji biometan 

PETALING JAYA: VentureTECH Sdn. Bhd. (VentureTECH), sebuah syarikat pelaburan impak, mengumumkan pelaburan...

Dividen ASB 2024 dijangka berada paras 5.3 sen hingga 6.5 sen
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka berada paras 5.3 sen hingga 6.5 sen

MENARA PNBPETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB)...