Home Ekonomi Kadar pengangguran turun 3.2% pada Ogos
Ekonomi

Kadar pengangguran turun 3.2% pada Ogos

Kadar pengangguran turun 3.2% pada Ogos

KADAR pengangguran turun kepada 3.2 peratus, mencatatkan 558,500 orang penganggur pada Ogos 2024-GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Kadar pengangguran turun kepada 3.2 peratus, mencatatkan 558,500 orang penganggur pada Ogos 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh pada Ogos terus berkembang berikutan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja.

“Dalam hal ini, bilangan tenaga buruh pada bulan Ogos 2024 terus mengukuh dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.22 juta orang berbanding Julai 2024 pada 17.20 juta orang. 

“Seperti yang direkodkan bulan lalu, kadar penyertaan tenaga buruh bulan Ogos kekal pada 70.4 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.66 juta orang pada Ogos, meningkat daripada 16.63 juta orang pada Julai lalu. 

Katanya, bilangan penganggur berkurang kepada 558.5 ribu orang dengan penurunan sebanyak 0.9 peratus (Julai 2024: 563,700 orang). 

“Kadar pengangguran pada Ogos 2024 turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.2 peratus setelah sembilan bulan mencatatkan kadar 3.3 peratus.

“Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.4 peratus dengan 303.0 ribu penganggur belia (Julai 2024: 10.5 peratus; 304,500 orang). 

“Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.4 peratus, merekodkan 428,500 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (Julai 2024: 6.5 peratus; 433,100 orang),” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, 80.0 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merekodkan penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada 446,600 orang.

Jelasnya, dalam kalangan panganggur aktif, 61.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.6 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. 

“Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif turun sebanyak 1.0 peratus merekodkan 111,900 orang (Julai 2024: 113,000 orang),” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, sebahagian besar penduduk bekerja didominasi oleh kategori pekerja, merangkumi 75.0 peratus. 

“Pada Ogos, kategori ini menunjukkan peningkatan 0.2 peratus merekodkan 12.50 juta orang berbanding 12.48 juta orang pada bulan Julai 2024. 

“Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal pada trend positif dan meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.08 juta orang berbanding bulan lalu (Julai 2024: 3.07 juta orang),” ujarnya.

Mengikut sektor ekonomi, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan. 

“Trend yang sama juga dilihat bagi guna tenaga dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian. 

“Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang pada bulan Ogos 2024 (Julai 2024: 7.23 juta orang),” jelasnya.

Tambahnya, pasaran buruh Malaysia dijangka kekal stabil bagi tempoh sepanjang tahun, dipacu oleh peningkatan dalam aktiviti pelancongan, perkembangan eksport dan inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah pelbagai pelan induk negara.-UTUSAN

Related Articles

JCorp catat untung sebelum cukai RM718j pada 2024
Ekonomi

JCorp catat untung sebelum cukai RM718j pada 2024

SYED MOHAMED SYED IBRAHIMPETALING JAYA: Kumpulan Johor Corporation (JCorp) pertumbuhan keuntungan sebelum...

Setia capai jualan 70% untuk Nadi (Fasa 3A)
Ekonomi

Setia capai jualan 70% untuk Nadi (Fasa 3A)

LAKARAN artis pembangunan komersial terbaharu, Nadi (Fasa 3A).PETALING JAYA: S P Setia...

Hyundai perkenal Staria, Tucson, Santa Fe baharu 
Ekonomi

Hyundai perkenal Staria, Tucson, Santa Fe baharu 

JAHABARNISA Haja Mohideen (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran tiga model baharu...

Tropicana, MBSB Bank sedia pembiayaan untuk Skypark Kepler
Ekonomi

Tropicana, MBSB Bank sedia pembiayaan untuk Skypark Kepler

IXORA Ang (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan, Wilayah Selatan Tropicana, Ir....