Home Ekonomi IMF semak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.1 peratus
Ekonomi

IMF semak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.1 peratus

IMF semak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.1 peratus

IMF menyemak turun pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.1 peratus tahun ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum ini, selaras semakan penurunan unjuran pertumbuhan di seluruh rantau ini.

IMF turut menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 3.8 peratus pada 2026, berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025.

IMF berkata, ia juga menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global 2025 kepada 2.8 peratus, iaitu 0.5 mata peratusan lebih rendah berbanding anggaran Januari lalu.

“Dalam kalangan rakan serantau Malaysia, unjuran pertumbuhan Indonesia bagi 2025 juga disemak turun kepada 4.7 peratus daripada 5.1 peratus, Filipina kepada 5.5 peratus daripada 6.1 peratus, manakala Thailand dijangka berkembang 1.8 peratus berbanding 2.9 peratus sebelum ini.

“Perubahan dasar utama yang sedang berlaku kini memberi kesan besar kepada landskap perdagangan global dan mencetuskan ketidaktentuan baharu, sekali gus menguji ketahanan ekonomi dunia.

“Sejak Februari, Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan beberapa pusingan tarif terhadap rakan dagangnya, yang mana sebahagian telah bertindak balas dengan langkah balas.

“Pasaran pada awalnya menerima pengumuman ini dengan tenang, sehinggalah pengenaan tarif secara menyeluruh oleh AS pada 2 April yang menyebabkan kejatuhan ketara dalam indeks saham utama dan lonjakan hasil bon. Pasaran hanya mula pulih secara beransur selepas pengumuman pengecualian tambahan bermula 9 April,” katanya.

Jelasnya, ekonomi global kini berada di persimpangan penting, dengan tanda-tanda kestabilan mula muncul sepanjang 2024 selepas berdepan tempoh panjang kejutan luar biasa.

“Inflasi yang pernah mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad kini menunjukkan penurunan secara beransur-ansur, walaupun tidak sekata ke arah sasaran bank pusat.

“Pasaran buruh pula kembali normal dengan kadar pengangguran dan kekosongan kerja menghampiri tahap pra-pandemik,” ujarnya.

Dari segi produktiviti, IMF mengenal pasti jurang yang semakin melebar, apabila aktiviti perkilangan semakin beralih dari ekonomi maju ke pasaran sedang membangun.

“Pengeluaran industri menjunam di semua negara pada awal pandemik, namun laluan pemulihan berbeza-beza.

“China mencatat lonjakan pengeluaran, manakala beberapa ekonomi kecil Kesatuan Eropah (EU) serta negara ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand) turut menunjukkan peningkatan.

“Sebaliknya, Jepun dan negara-negara utama EU masih bergelut untuk kembali ke paras pra-pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, pengeluaran industri di AS dilaporkan pulih dengan lebih kukuh berbanding ekonomi maju lain.

Mengulas mengenai sektor komoditi, IMF meramalkan harga bahan api menurun 7.9 peratus pada 2025, didorong kejatuhan harga minyak sebanyak 15.5 peratus dan arang batu sebanyak 15.8 peratus.

Bagaimanapun, kenaikan harga gas asli sebanyak 22.8 peratus dijangka mengimbangi penurunan ini, didorong oleh cuaca sejuk luar jangka dan penghentian bekalan gas Rusia ke Eropah melalui Ukraine sejak Januari.

Sementara itu, bagi komoditi bukan bahan api, IMF menjangkakan peningkatan harga sebanyak 4.4 peratus pada 2025. – UTUSAN

Related Articles

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China
Ekonomi

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China

PETALING JAYA: Sektor sarung tangan getah tempatan dijangka terjejas susulan pengurangan sementara...

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion
Ekonomi

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion

Orang ramai menjadikan Kompleks Sogo salah satu pusat beli belah utama untuk...

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR
Ekonomi

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Pendekatan wilayah dilihat sebagai jalan tengah yang lebih adil...

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini
Ekonomi

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat....