Home Ekonomi HEB Group umum dividen 1.46 sen bagi tahun kewangan 2024
Ekonomi

HEB Group umum dividen 1.46 sen bagi tahun kewangan 2024

HEB Group umum dividen 1.46 sen bagi tahun kewangan 2024

KUNA SITTAMPALAM

PETALING JAYA: HSS Engineers Berhad (HEB Group), syarikat perunding kejuruteraan dan pengurusan projek mengumumkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.46 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berbanding 1.21 sen sesaham pada tahun kewangan sebelumnya,

Pembayaran dividen itu mencerminkan keputusan kewangan yang memberangsangkan dengan keuntungan bersih meningkat 23 peratus kepada paras tertinggi iaitu RM25.2 juta, berbanding RM20.4 juta pada tempoh sama tahun sebelum. 

Timbalan Pengerusi Eksekutif HSS Engineers Berhad, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, peningkatan itu dipacu oleh pengukuhan kehadiran kumpulan di pasaran antarabangsa dan penglibatan yang semakin mendalam dalam sektor-sektor baharu.

“Keuntungan bersih ini turut mencerminkan kekuatan perkhidmatan kejuruteraan kami yang cemerlang, yang digunakan dalam projek-projek transformasi merentas pelbagai industri dan negara.

“Kami berbesar hati untuk memberi ganjaran lebih tinggi kepada para pemegang saham apabila keuntungan kami meningkat hasil perluasan operasi serantau dan kepelbagaian sektor. 

“Melangkah ke hadapan, kami berhasrat mengekalkan momentum keuntungan ini dan terus memainkan peranan utama dalam projek pengangkutan dan berkaitan air, sambil meningkatkan penglibatan dalam pusat data, penyelesaian dron berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan. 

Jumlah pembayaran dividen dianggarkan sebanyak RM7.4 juta atau kira-kira 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Ia sejajar dengan dasar dividen kumpulan yang menyasarkan pembayaran 30 peratus daripada PAT tahunan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang pada 11 Jun 2025.

Kuna berkata, kumpulan kekal komited dengan strategi pengembangan global, selaras dengan pelaburan besar negara-negara membangun dalam infrastruktur untuk meningkatkan daya saing. 

“Dengan keupayaan kami yang tangkas dan rekod prestasi cemerlang, kami bersedia untuk memainkan peranan lebih besar di pasaran luar negara serta memperkukuh kedudukan kewangan kami,” ujarnya. 

Sehingga 31 Disember 2024, buku pesanan kumpulan berjumlah RM2.1 bilion dan akan dijana secara berperingkat sepanjang lapan tahun akan datang. 

Buku pesanan itu, yang terbesar dalam sejarah kumpulan, termasuk kemenangan kontrak baharu dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berjumlah lebih RM900 juta merentasi pelbagai sektor dan negara.

Sementara itu, antara kejayaan utama tahun lalu termasuk, Projek Pengembangan Westport 2 Fasa 1, dua projek pusat data baharu di Johor, Lebuhraya Phnom Penh-Bavet di Kemboja dan projek Metro Baghdad di ibu negara Iraq yang merupakan kontrak terbesar kumpulan setakat ini. 

Dalam pada itu, kumpulan juga giat memburu lebih banyak peluang dalam sektor infrastruktur, dengan nilai bidaan sebanyak RM504 juta merangkumi projek lebuh raya, jalan raya, rel, pelabuhan, infrastruktur air, pusat data dan tenaga boleh diperbaharui.-UTUSAN

Related Articles

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China
Ekonomi

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China

PETALING JAYA: Sektor sarung tangan getah tempatan dijangka terjejas susulan pengurangan sementara...

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion
Ekonomi

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion

Orang ramai menjadikan Kompleks Sogo salah satu pusat beli belah utama untuk...

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR
Ekonomi

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Pendekatan wilayah dilihat sebagai jalan tengah yang lebih adil...

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini
Ekonomi

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat....