Wednesday , 25 December 2024
Home Ekonomi Hartalega catat untung bersih RM8.63j bagi suku kedua
Ekonomi

Hartalega catat untung bersih RM8.63j bagi suku kedua

Hartalega catat untung bersih RM8.63j bagi suku kedua

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan untung bersih sebanyak RM8.63 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 berakhir 30 September 2024, berbanding RM27.69 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Kumpulan berkata, walaupun aktiviti pengeluaran yang meningkat telah mengukuhkan kecekapan operasi, penurunan untung dialami terutamanya disebabkan kos bahan mentah lebih tinggi dan pergerakan kadar tukaran asing yang kurang baik akibat penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit dalam tempoh ini. 

Syarikat mencatatkan hasil lebih tinggi berjumlah RM652 juta bagi suku tahun yang dilaporkan berbanding RM452 juta yang diperolehi pada suku yang sama tahun lepas, terutamanya dipacu oleh peningkatan jualan.

Bagi enam bulan pertama pula, Hartalega merekodkan untung bersih sebanyak RM40.55 juta berbanding rugi bersih sebanyak RM24.77 juta tahun sebelumnya dan pendapatan sebanyak RM1.24 bilion daripada RM892 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, suku kedua menyaksikan persekitaran operasi yang rumit, dengan peningkatan kos yang dikaitkan dengan inisiatif peluasan kapasiti strategik syarikat.

Katanya, antaranya termasuk usaha menambah barisan pengeluaran baharu untuk memenuhi permintaan yang dijangkakan pada masa depan. 

“Walaupun kenaikan kos sementara, ditambah pula dengan kerugian tukaran asing daripada penyusutan ketara dolar AS berbanding ringgit telah menjejaskan keuntungan jangka pendek, namun kami terus memberi tumpuan kepada pola pertumbuhan jangka panjang kami.

“Untuk memenuhi matlamat tersebut, kami telah memulakan operasi komersial untuk beberapa barisan pengeluaran baharu dalam projek peluasan Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Generasi Akan Datang (NGC) 1.5 di Sepang.

“Kemudahan canggih ini yang berupaya meningkatkan kecekapan pengeluaran, mencerminkan komitmen kami kepada kecemerlangan operasi dan mengukuhkan kedudukan kami untuk memanfaatkan peluang pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengaktifkan barisan pengeluaran baharu, memastikan perkembangan syarikat sejajar dengan dinamik pasaran.

“Walaupun kami sering berdepan dengan cabaran jangka pendek, pelaburan strategik yang dilakukan untuk meningkatkan keupayaan pengilangan dan kecekapan operasi telah membina asas yang kukuh bagi mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan. 

“Pelan strategik lima tahun kami yang mantap terus memacu kami ke hadapan, dengan penekanan pada kemajuan teknologi, usaha pengoptimuman kos serta komitmen teguh terhadap kecemerlangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” ujarnya.

Tambahnya, permintaan bagi produk penjagaan kesihatan global tetap kukuh dan pihaknya telah meletakkan Hartalega pada kedudukan strategik untuk merebut peluang pemulihan pasaran.-UTUSAN

Related Articles

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah...

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 24 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Trend positif pasaran ekuiti dorong dividen ASB tertinggi sejak 2018

Ketua Perhubungan Pelabur Strategi Korporat MBSB, Azharuddin NordinKUALA LUMPUR, 24 Disember –...