PETALING JAYA: Sebanyak enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan, lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025.
GLIC yang telah memenuhi komitmen kepada dasar gaji kehidupan wajar itu termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pelaksanaan komitmen gaji kehidupan wajar adalah sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI yang memerlukan usaha bersinergi daripada GLIC sebagai pemangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia, dengan dua objektif “menaikkan siling” dan “menaikkan lantai”.
Berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup yang digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025, penanda aras gaji kehidupan wajar telah
ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, iaitu lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari 2025.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati dapat memenuhi komitmen kami terhadap inisiatif gaji kehidupan wajar.
“Fokus kami kini adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) strategik utama kami. Pertamanya untuk mereka menerima dasar gaji kehidupan wajar, seterusnya melaksanakan dasar tersebut mengikut garis masa yang dipersetujui.
“Sejak 2023, kami sentiasa terlibat bersama GLC kami dalam hal mengenai rangka kerja gaji kehidupan wajar ini, menggesa mereka secara proaktif agar komited kepada Dasar Gaji Kehidupan Wajar dan mempercepatkan pelaksanaannya.
“Sehingga kini, tiga daripada syarikat strategik kami telah mengeluarkan Dasar Gaji Kehidupan Wajar, dan kami menyasarkan agar semua syarikat strategik kami untuk menerima dan menyatakan komitmen kepada Dasar Gaji Kehidupan Wajar menjelang 2026,” katanya dalam kenyataan.
Pada Januari 2025, PNB telah memperhalus garis panduan pengundiannya, menggalakkan syarikat pelaburannya untuk meneroka dan menerima rangka kerja tersebut.
PNB mengiktiraf bahawa industri yang pelbagai dan kompleks di mana GLC dan Korporat Malaysia terlibat memerlukan masa yang berbeza untuk pelaksanaan, namun ia percaya semua syarikat harus komited dan mempunyai perancangan yang jelas dalam memastikan para pekerja memperoleh penggajian yang adil untuk menikmati taraf hidup yang boleh diterima.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya telah memenuhi komitmen untuk menyediakan gaji kehidupan wajar kepada pekerjanya dan telah melibat secara aktif dengan syarikat-syarikat teras dalam pegangannya untuk melaksanakan amalan gaji kehidupan wajar dalam keseluruhan operasinya.
“Khazanah komited untuk memimpin melalui teladan dan telah melaksanakan gaji kehidupan wajar dalam operasi kami, sementara 10 daripada syarikat pegangan teras kami telah komited untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar.
“Kami akan terus mempromosikan kesedaran dan penerimaan yang lebih besar dengan
syarikat-syarikat portfolio kami yang lain. Menyokong gaji kehidupan wajar adalah kunci dalam meningkatkan produktiviti, membina perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan yang menyumbang kepada laluan pembangunan yang stabil, saksama dan mampan untuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sebagai penjaga amanah simpanan persaraan untuk lebih daripada 16 juta rakyat Malaysia, pihaknya percaya tanggungjawab untuk memacu kecukupan pendapatan bermula dengan KWSP.
“Dengan memastikan semua pekerja memperoleh gaji kehidupan wajar, kami sedang memperkukuhkan misi organisasi untuk membina ekosistem persaraan yang berdaya tahan dan inklusif, yang bermula dengan gaji yang adil hari ini bagi memastikan pendapatan yang mencukupi pada hari esok.
“KWSP juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburan dan rakan ekosistemnya untuk menggalakkan penerimaan rangka kerja yang serupa, menyokong masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan saksama untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed pula berkata, pelaksanaan gaji kehidupan wajar adalah pernyataan yang jelas terhadap komitmen KWAP untuk meningkatkan taraf hidup pekerja, selaras dengan aspirasi nasional.
“Sebagai penjaga dana pencen sektor awam terbesar di Malaysia, tumpuan kami bukan sahaja untuk memberikan pulangan kewangan yang mampan, tetapi juga menyokong mereka yang
membolehkan penciptaan nilai jangka panjang kami,” katanya.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, komitmen LTAT terhadap gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 mencerminkan misi berterusan untuk melindungi dan meningkatkan mereka yang berkhidmat untuk negara sama ada pasukan beruniform mahupun tenaga kerja awam.
LTAT menangani isu ini menerusi semakan pada 2025, yang melibatkan semakan struktur gaji merangkumi elemen bukan penggajian untuk menyokong kebajikan pekerja secara holistik.
“Sebagai GLIC, kami menyedari sepenuhnya peranan kami dalam membentuk masa depan yang lebih saksama, dan LTAT akan memastikan komitmen ini dilaksanakan di seluruh ekosistem kami dengan menggalakkan syarikat pelaburan dan rakan kongsi kami untuk mencontohi langkah ini,” katanya.
Dalam pada itu, TH menegaskan komitmennya untuk memelihara kebajikan para pekerjanya dan menyokong inisiatif gaji kehidupan wajar.
TH telah melaksanakan inisiatif gaji kehidupan wajar dan akan berusaha untuk menambah baik dari masa ke semasa, selain bekerjasama dengan Kumpulan Syarikatnya untuk memastikan impak yang lebih besar. – UTUSAN