Monday , 23 December 2024
Home Ekonomi FBM KLCI dijangka catat aliran meningkat minggu depan
Ekonomi

FBM KLCI dijangka catat aliran meningkat minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 Disember- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencatatkan pergerakan meningkat minggu depan, disokong oleh penyertaan pasaran yang kukuh berikutan sentimen positif yang dipacu oleh data ekonomi domestik dan luaran.

“Berdasarkan indeks komposit kembali kepada paras 1,600, momentum ini dijangka berterusan, disokong oleh beberapa faktor utama yang menunjukkan prospek pasaran positif,” kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan kepada Bernama.

Beliau berkata pertumbuhan eksport Malaysia pada Oktober, dengan peningkatan 3.1 peratus tahun ke tahun, menunjukkan pengukuhan sektor perdagangan negara terutamanya dalam eksport elektronik dan elektrik, yang dijangka terus meningkat pada akhir 2024 berikutan permintaan terhadap teknologi global.

\”Keyakinan terhadap potensi penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Disember boleh menurunkan kos pinjaman global, memberi manfaat kepada syarikat teknologi Malaysia.

\”Selain itu, saham dalam rantaian bekalan pusat data dan galakan kepada penyedia 5G kedua mengukuhkan prospek pasaran Malaysia, menjadikannya destinasi menarik kepada pelabur. Ini walaupun terdapat potensi cabaran rantaian bekalan dan ketidaktentuan dalam aliran masuk modal asing,” katanya.

Katanya dengan banyak saham S&P 500 mencapai paras tertinggi baharu, penilaian pasaran Malaysia yang lebih rendah menawarkan peluang kepelbagaian yang menarik kepada pelabur.

“Walaupun terdapat ketidaktentuan mengenai aliran masuk modal asing, kadar faedah yang stabil, dasar yang jelas dan prospek penarafan kredit negara yang positif menjadikan Malaysia destinasi pelaburan asing yang menarik,” katanya.

Selain itu, Mohd Sedek berkata pasaran ekuiti dijangka menerima lonjakan bermusim daripada aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun apabila pengurus dana biasanya menyusun semula portfolio mereka untuk mengetengahkan saham berprestasi tinggi.

“Walaupun impak ini biasanya bersifat jangka pendek, ia dapat membantu meningkatkan FBM KLCI, berdasarkan keadaan ekonomi yang terus menyokong,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pada masa depan, semua perhatian akan tertumpu kepada Persidangan Kerja Ekonomi Pusat tahunan China, acara penting yang dijangka merangka langkah dasar utama dan strategi rangsangan untuk ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Pelabur turut memantau data inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) China bagi November yang akan dikeluarkan pada Selasa depan dan data perdagangan pada Rabu depan, yang boleh memberikan pandangan mengenai hala tuju ekonomi negara itu.

“Dalam negara, FBM KLCI mencatatkan stabil sepanjang 10 hari lepas dan ditutup melebihi paras 1,600 untuk beberapa hari manakala penembusan melebihi paras 1,617 dengan jumlah dagangan yang kukuh menunjukkan momentum kenaikan jangka pendek, dengan sasaran paras halangan pada 1,625 dan 1,650,” katanya.

Thong berkata minggu depan, indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,605 hingga 1,625.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 18.96 mata kepada 1,613.25 daripada 1,594.29 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas melonjak 215.77 mata kepada 12,346.90 dan Indeks FBMT 100 meningkat 203.91 mata kepada 12,027.70.

Sementara itu, Indeks FBM 70 naik 540.39 mata kepada 18,400.21, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 288.44 mata kepada 12,323.13 dan Indeks FBM ACE meningkat 175.54 mata kepada 5,307.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 24.42 mata kepada 19,165.61 dan Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 134.19 mata kepada 2,303.68.

Indeks Perladangan naik 208.44 mata kepada 7,740.26, Indeks Teknologi menambah 3.37 mata kepada 61.85, Indeks Tenaga meningkat 16.84 mata kepada 829.13 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 5.51 mata kepada 175.80.

Jumlah dagangan naik kepada 16.18 bilion unit bernilai RM14.54 bilion daripada 14.92 bilion unit bernilai RM16.82 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.74 bilion saham bernilai RM13.23 bilion daripada 8.40 bilion saham bernilai RM15.63 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 4.86 bilion unit bernilai RM1.36 bilion daripada 4.18 bilion unit bernilai RM440.95 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.53 bilion saham bernilai RM835.68 juta daripada 2.38 bilion saham bernilai RM746.89 juta minggu lepas.- Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham
Ekonomi

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan...

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...