Wednesday , 25 December 2024
Home Ekonomi Eksport minyak sawit catat prestasi kukuh 
Ekonomi

Eksport minyak sawit catat prestasi kukuh 

Eksport minyak sawit catat prestasi kukuh 

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Eksport minyak sawit mencatatkan prestasi yang kukuh pada 1.73 juta tan, naik 11.1 peratus bulan ke bulan, 43.0 peratus tahun ke tahun, kemungkinan besar didorong oleh pengisian stok menjelang Deepavali,  menurut TA Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga didorong oleh pembelian bermusim dari China menjelang musim sejuk kerana minyak sawit akan mengeras pada suhu rendah

Katanya, perkembangan tersebut telah membantu menyokong harga minyak sawit mentah (MSM). 

“Setakat ini, eksport minyak sawit telah meningkat sebanyak 13.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, mencapai jumlah 14.06 juta tan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

TA Securities berkata, harga MSM meningkat sekitar 15 peratus, kini melebihi RM5,000 setan berbanding bulan lepas. 

“Kenaikan ini dikaitkan dengan jangkaan tahap stok yang rendah dan penurunan pengeluaran mengikut musim. 

“Selain itu, pelaksanaan mandat biodiesel B40 di Indonesia dijangka akan meningkatkan permintaan bahan mentah sebanyak sekitar tiga juta tan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 13.9 juta tan,” katanya.

Selain itu, kenaikan harga MSM juga kemungkinan dipengaruhi oleh kenaikan harga soya, yang didorong oleh pembelian panik oleh China, susulan kemungkinan tarif yang akan dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang baharu pada tahun depan. 

Jelas firma penyelidikan itu, Trump telah mencadangkan tarif sehingga 60 peratus ke atas barangan China dan cukai 10 hingga 20 peratus ke atas semua import luar negara. 

“Walau bagaimanapun, kami tidak menjangkakan bahawa ketegangan perdagangan yang berpotensi antara AS dan China akan memberi kesan besar kepada import soya dalam beberapa bulan akan datang. 

“Tempoh eksport utama untuk soya AS adalah dari Oktober hingga Januari, selepas itu soya Brazil dijangka akan mendominasi import China bermula pada bulan Februari. Semasa penggal pertama Trump, terdapat jurang enam bulan antara pengumuman tarif tambahan ke atas import barangan China dan pelaksanaannya. 

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa tarif baharu ini lebih berkemungkinan memberi kesan kepada eksport tanaman pada tahun berikutnya,” katanya. 

Sementara itu, dalam sepuluh hari pertama November 2024, data eksport dari Intertek (-15.8 peratus bulan ke bulan) dan Amspec (-14.6 peratus bulan ke bulan) menunjukkan penurunan permintaan yang ketara, mencadangkan bahawa eksport minyak sawit mungkin mengalami penurunan mendalam pada November selepas lonjakan yang kukuh pada Oktober. 

“Selain itu, harga premium minyak sawit yang tinggi berbanding minyak masak lain mungkin mengurangkan daya saingnya di pasaran, menyebabkan permintaan yang lebih lemah, terutamanya di pasaran yang sensitif terhadap harga seperti India. 

“Sebaliknya, pelonggaran ketegangan di Asia Barat mungkin menyebabkan sedikit penurunan dalam harga minyak, yang boleh memberi kesan tidak langsung terhadap harga MSM. 

“Kami tidak menolak kemungkinan harga MSM akan mengalami penurunan mendalam pada bulan Disember,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah...

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 24 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Trend positif pasaran ekuiti dorong dividen ASB tertinggi sejak 2018

Ketua Perhubungan Pelabur Strategi Korporat MBSB, Azharuddin NordinKUALA LUMPUR, 24 Disember –...