Home Ekonomi Ekonomi negara dijangka berkembang pada 5%
Ekonomi

Ekonomi negara dijangka berkembang pada 5%

Ekonomi negara dijangka berkembang pada 5%

EKONOMI Malaysia dianggar berkembang 4.5 peratus tahun ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 dijangka kekal stabil pada kadar 5.0 peratus, disokong oleh permintaan domestik dan sentimen perniagaan yang semakin baik, menurut Standard Chartered Bank.

Pasukan Penyelidikan Global Standard Chartered telah menyemak semula unjuran pertumbuhan mereka untuk 2024 kepada 5.2 peratus daripada 4.8 peratus berikutan momentum pertumbuhan yang kukuh dalam tiga suku pertama tahun ini.

“Dalam laporan tinjauan ekonomi 2025 bertajuk “Reverberations”, pasukan menjangkakan pertumbuhan ekonomi global secara keseluruhannya kekal mendatar pada 2025, sedikit perlahan kepada 3.1 peratus berbanding 3.2 peratus pada tahun sebelumnya.

“Selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), ekonomi global sedang bersiap sedia menghadapi pengumuman dasar baharu daripada pentadbiran Rumah Putih, termasuk tarif besar terhadap rakan dagangan utama AS seperti China.

“Pemerhati percaya bahawa dasar pro-pertumbuhan dan perlindungan pentadbiran Rumah Putih yang baharu berkemungkinan meningkatkan inflasi di AS, dengan implikasi kepada seluruh dunia.

“Namun, berdasarkan penggal sebelumnya, dasar sebenar pentadbiran Trump mungkin kurang ekstrem berbanding retorik semasa kempen,” katanya.

Menurut firma itu, dengan China dijangka menanggung kesan utama dasar tarif AS, ekonomi kecil terbuka di Asia berkemungkinan terjejas dalam jangka pendek, termasuk negara yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia.

“Dalam jangka sederhana, rantau ini dijangka terus menarik pelaburan langsung asing yang kukuh apabila pelabur mencari peluang untuk mempelbagaikan kapasiti operasi dan meneroka pasaran baharu.

“Di Malaysia, penggunaan swasta dijangka didorong oleh pasaran buruh yang sihat, kenaikan gaji sektor awam, dan akaun fleksibel baharu bagi dana pencen.

“Pelaburan swasta pula dijangka disokong oleh minat yang kukuh terhadap sektor pembuatan di Malaysia serta kadar faedah yang tidak menghalang.

“Bagaimanapun, prospek global yang berhati-hati dan ancaman dasar perdagangan negatif AS mungkin melemahkan sentimen pelaburan,” katanya.

Selain itu, pasukan Penyelidikan Global Standard Chartered menjangkakan inflasi kekal terkawal pada kadar 2.2 peratus pada 2025 berbanding 1.9 peratus pada 2024, berdasarkan inflasi lebih rendah daripada jangkaan pada tahun sebelumnya, walaupun rasionalisasi subsidi akan diteruskan tahun depan.

“Oleh itu, pasukan ini mengekalkan pandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, dan sebarang keputusan untuk menaikkan kadar oleh bank pusat akan bersifat reaktif dan bukannya preemptif,” katanya.

Mengulas mengenai ringgit, firma itu berkata, ringgit Malaysia dijangka sedikit mengatasi prestasi mata wang serantau dalam jangka pendek kerana asas ekonomi yang kekal menyokong.

“Namun, memandangkan Malaysia bergantung kepada perdagangan dan terdedah kepada pertumbuhan China, sebarang dasar perdagangan negatif yang diterajui AS boleh menjadi risiko kepada mata wang ini pada 2025.

“Keyakinan domestik terhadap ringgit meningkat pada 2024. Malah, ringgit Malaysia adalah salah satu daripada beberapa mata wang yang berjaya mengukuh berbanding dolar AS pada 2024. Asas domestik kekal positif.

“Kedudukan semasa adalah menguntungkan dengan deposit mata wang asing dalam negara yang tinggi, sementara peruntukan aset asing oleh industri pengurusan dana domestik sudah tinggi.

“Pemulangan pendapatan asing yang berterusan oleh institusi tempatan serta aktiviti pelancongan masuk yang kukuh juga boleh memberi manfaat kepada ringgit,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif
Ekonomi

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji dijangka mampu mengumumkan kadar dividen yang kompetitif...

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan
Ekonomi

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan

PROSPEK sektor hartanah terus disokong oleh statistik yang lebih baik termasuk jumlah...

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital
Ekonomi

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital

PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank) mengumumkan pelancaran Pembiayaan Peribadi-i...

Ekonomi

Ketakutan ketinggalan punca belia berbelanja berlebihan

Sikap ingin memiliki sesuatu dengan segera dan takut ketinggalan menjadi faktor utama...