Home Ekonomi Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 4.8 peratus tahun ini
Ekonomi

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 4.8 peratus tahun ini

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 4.8 peratus tahun ini

PROSPEK ekonomi Malaysia untuk 2025 diunjurkan pada kadar pertumbuhan KDNK yang stabil pada 4.8 peratus. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini dijangka tumbuh sebanyak 4.8 peratus, lebih rendah daripada 5.2 peratus yang direkodkan tahun lalu, menurut penganalisis HSBC Global Research.

Ketua Ekonomi Asia dan Pengetua Bersama Penyelidikan Global Asia, Frederic Neumann bagaimanapun berkata, pertumbuhan itu masih rekod yang kukuh memandangkan keadaan yang berlaku dalam ekonomi dunia. 

“Ini didorong daripada pelaburan langsung asing (FDI) dan beberapa projek pelaburan yang masih dalam pelaksanaan serta pemulihan dalam permintaan domestik,” katanya dalam sesi webinar Ramalan Asia 2025 HSBC di sini hari ini.

Jelas beliau, di luar pertumbuhan, inflasi kekal agak terkawal dan Inflasi keseluruhan purata sekitar 1.8 peratus tahun ke tahun dalam sepuluh bulan pertama tahun ini. 

“Memandangkan kejutan negatif yang berlaku baru-baru ini, kami telah mengurangkan unjuran inflasi keseluruhan kami kepada 1.9 peratus (dari 2.3 peratus untuk 2024 dan kepada 2.7 peratus (dari 3 peratus) untuk 2025, walaupun kami mengakui ketidakpastian berhubung potensi rasionalisasi subsidi RON95.

“Kami percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, satu pandangan yang telah kami pegang sejak lama. 

“Walau bagaimanapun, kemungkinan kenaikan kadar berikutan risiko inflasi yang meningkat, lebih tinggi daripada kemungkinan pemotongan kadar; namun kedua-duanya bukanlah senario asas kami,” katanya. 

Mengulas lanjut, Frederic menjelaskan, walaupun Belanjawan 2025 terus menekankan tekad kerajaan untuk kembali ke trajektori fiskal pra-pandemik, ia juga menunjukkan pendekatan yang agak seimbang. 

“Jumlah perbelanjaan yang dibentangkan adalah yang terbesar pernah dicatatkan, melebihi RM400 bilion, menunjukkan pendekatan pro-pertumbuhan dengan langkah-langkah yang menyeluruh.

“Ini bertujuan untuk mengurangkan defisit fiskal 2025 kepada 3.8 peratus daripada KDNK, berkurang daripada unjuran 4.3 peratus dalam Belanjawan 2024. 

“Walaupun ini lebih tinggi daripada ramalan asal kami iaitu 3.5 peratus daripada KDNK, ia akan mewakili tahun keempat berturut-turut kerajaan berusaha untuk mengurangkan defisit fiskalnya, membuka jalan untuk mencapai 3.0 peratus dalam tiga hingga lima tahun seperti yang digariskan dalam Akta Tanggungjawab Fiskal yang diluluskan pada Oktober 2023,” katanya. 

Selain itu, jelas beliau, mengenai subsidi RON95 kekal sebagai salah satu soalan yang paling kerap ditanya oleh pelabur. 

“Berita baiknya, kerajaan komited untuk menunaikan janji-janjinya, dengan mengumumkan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan bermula pada pertengahan 2025. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan subsidi RON95,” katanya. 

Bagaimanapun, pengumuman itu terus meninggalkan tahap ketidakpastian untuk 2025, kerana trajektori inflasi akan bergantung kepada sejauh mana penghapusan subsidi dilakukan. 

“Lebih penting, kami akan memantau mekanisme mitigasi, berkemungkinan faktor itulah kerajaan kemungkinan akan mengambil masa enam bulan akan datang untuk menyempurnakan mekanisme yang dicadangkan.

“Walaupun terdapat ketidakpastian dasar, kami berpendapat inflasi kemungkinan akan jatuh di bawah julat ramalan inflasi BNM iaitu 2 hingga 3.5 peratus untuk 2025. 

“Namun, BNM akan ‘bergantung kepada data’ dan kekal berjaga-jaga terhadap sebarang risiko terhadap inflasi teras,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan
Ekonomi

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan

PENINGKATAN gaji minimum boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan. – GAMBAR HIASANPETALING JAYA:...

Harga emas cecah RM415 segram, dijangka terus meningkat
Ekonomi

Harga emas cecah RM415 segram, dijangka terus meningkat

SEORANG pekerja menyusun gelang emas yang dipamerkan di kedai barangan kemas. –...

Ekonomi

Niaga hadapan emas merosot susulan aktiviti pengambilan untung

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 6 Februari- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives...

Ekonomi

PKS disaran tingkat produktiviti untuk imbangi kenaikan kos operasi

Profesor Madya Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia, Dr Mohd Edil Abd...