Sunday , 22 December 2024
Home Ekonomi Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dijangka sekitar 5.1 hingga 5.4 peratus, disokong oleh prestasi pasaran saham domestik yang positif tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, agihan dividen antara 5.1 dan 5.2 peratus bagi ASB dilihat agak munasabah berdasarkan iklim pelaburan semasa.

Menurutnya, memandangkan petunjuk utama Bursa Malaysia, indeks FBM KLCI telah meningkat lebih kurang 10 peratus tahun ini, sepatutnya dividen ASB tidak jauh berbanding tahun lalu, iaitu sekitar 5.1 peratus termasuk bonus.

“Meskipun ini dilihat agak kecil berbanding prestasi pasaran saham, mekanisme kiraan dividen dan kenaikan harga saham adalah berbeza, kerana agihan dividen perlu melihat kepada pulangan pelaburan yang telah direalisasikan.

“Kenaikan saham 10 peratus atau 20 peratus sekalipun hanya di atas kertas sekiranya tidak dijual, namun ia masih boleh memberi indikator kepada jumlah dividen yang bakal diumumkan.

“Pada masa sama, terdapat aspek perakaunan seperti peruntukan rosot nilai yang juga boleh memberi kesan kepada agihan dividen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tahun lalu, Amanah Saham Nasional Bhd. mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, yang terdiri daripada agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Ia lebih baik berbanding dividen ASB bagi 2022, yang membabitkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit serta bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelbagai faktor perubahan global seperti geopolitik dan dasar kewangan negara2 barat seperti AS, mempengaruhi strategi pelaburan PNB di luar dan dalam negara.

“Pengukuhan nilai ringgit yang berlaku tahun ini turut memberikan kesan kepada transaksi pertukaran asing PNB, di mana pelbagai strategi dan tindakan dari bahagian pelaburan pastinya aktif dalam tindakan mereka yang telah mempunyai rekod yang baik.

“Sekiranya dividen ASB 2024 lebih rendah dari tahun-tahun sebelum, maka para penyimpan atau pelabur mempunyai pilihan iaitu sedikit mengalihkan portfolio sekarang kepada alternatif pelaburan yang lain seperti emas fizikal atau melabur di pasaran saham secara langsung.

“Namun perlu dingatkan supaya mengekalkan sebahagian besar simpanan di ASB kerana ia lebih selamat kerana dijamin oleh kerajaaan, mungkin sedikit rendah dari pasaran namun lebih berisiko rendah,” katanya.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai pula berpendapat, terdapat kemungkinan kadar pulangan atau dividen tahun ini tidak jauh berbeza atau mungkin lebih rendah sedikit daripada tahun lepas.

“Bagaimanapun, penurunan itu tidaklah banyak, berkemungkinan berkurang 1.2 peratus sahaja berbanding tahun lalu.

“Hal ini kerana harga saham turun naik, menjadikannya lebih susah untuk pengurus dana memanfaatkan pasaran mencari untung yang lebih.

“Kadar pertukaran antara ringgit dan dolar AS turut menekan prestasi bursa negara, menyebabkan ia agak tidak menentu. Jadi, kita tidak boleh mengharapkan kadar yang lebih baik daripada tahun lepas,” katanya

ASNB dijangka mengumumkan dividen ASB minggu depan. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Saham KL susut diasak tekanan jualan, jejak prestasi serantau

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Dagangan saham di Bursa Malaysia mengakhiri urus...

Ekonomi

Inflasi November turun kepada 1.8 peratus – DOSM

DOSMKUALA LUMPUR, 20 Disember- Kadar inflasi Malaysia bagi November 2024 susut kepada...

Ekonomi

Top Glove perkenal program literasi kewangan bersama CIMB Foundation

Top Glove bekerjasama dengan CIMB Foundation untuk melaksanakan program literasi kewangan /...